Perkongsian Hari Minggu Biasa keTiga Puluh Tiga Tahun C
Di kala kita mengejar kemajuaan dunia dan teknologi, banyak benda yang kita akan harungi. Ada yang baik, dan ada yang buruk serta banyak isu-isu perkauman dan keagamaan. Sejak kebelakangan ini, banyak unsur- unsur negatif berlaku di kebanyakan negara didunia seperti peperangan, pemberontakan, penindasan, penganiayaan, pencabulan, kemelut ekonomi dan politik serta berbagai jenis melapetaka yang mengorbankan banyak nyawa. Adakah ini semua sebagai petanda awal dunia kita menuju kepada kehancuran atau kiamat?
Dalam pembacaan Kitab Suci yang dipetik dari Santo Lukas, Yesus telah memberi amaran dan pembayang awal tentang akhir zaman yang mana akan berlakunya peperangan, pemberontakan, bangsa akan bangkit melawan bangsa dan kerajaan melawan kerajaan, akan terjadi gempa bumi, wabak penyakit, kelaparan dan lain- lain melapetaka. Penganiayaan dan hukuman juga pasti akan berlaku kepada pengikut-pengikutnya di sepanjang zaman. Namun Yesus berjanji untuk memberikan kehidupan kekal selepas akhirat nanti kepada yang beriman. Dan dalam Mazmur, Tuhan Allah juga memberi jaminan bahawa Dia akan menghakimi dunia dengan keadilan dan mengadili bangsa-bangsa dengan kebenaran. Ini merupakan pengharapan yang Tuhan berikan supaya kita senantiasa bersukacita berpandukan kepada ajaranNya melalui Kitab Suci dan Ekaristi.
Marilah kita semua mempersiapkan diri dalam menjalani kehidupan seharian kita untuk terus maju di dalam ketekunan iman dan kerjaya sepertimana Rasul Paulus berpesan kepada Jemaat di Tesalonika untuk bekerja mencari rezeki dengan tekun, tenang, amanah dan berintegrasi supaya layak diteladani. Manakalah melalui pembacaan pertama dari Nabi Malachi, Tuhan menegaskan akan menghapuskan orang-orang yang sombong dan pelaku jahat dengan membakar seperti jerami pada masa akan datang. Bagi yang beriman pula, mereka akan terpelihara dan diselamatkan.
Iman yang kuat dan teguh boleh membawa kita dekat dengan Tuhan. Seperti mana dalam tulisan Kitab Suci Santo Matius, Yesus mengatakan, ‘Carilah dahulu kerajaan Allah dan kebenarannya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu’. Oleh itu, marilah kita memperdalamkan dan memperbaharui iman kita untuk terus mencari dan dekat dengan Tuhan. Kenikmatan di dunia ini bukanlah segala-galanya, nikmat kehidupan sebenar terletak di kehidupan baru dan kekal selepas akhirat bersama Tuhan disurga.
Kita sudah sampai ke penghujung kalendar Tahun C Minggu Biasa ke 33. Mari kita cuba imbas kembali dan tanya pada diri sendiri. Adakah kita sudah mencapai tahap kemajuan dan kematangan iman dengan penuh kerendahan hati sepanjang tahun ini? Kalau belum, ayo kita berikan Tuhan Yesus Kristus ruang dan tempat di hati kita untuk keselamatan roh kita di akhir zaman nanti.
Amen Apollonius Sitiol