Renungan Hari Minggu Biasa Ke-14 Tahun A.
Bacaan Pertama – Zakharia 9:9-10
Mazmur Tanggapan – Mzm 144
Bacaan Kedua – Roma 8:9, 11-13
Injil – Matius 11:25-30
Saudara sekalian, pada hari minggu biasa ke-14 ini, Gereja menjemput kita untuk merenungkan kerendahan hati Yesus yang memili orang miskin.
Bacaan pertama minggu ini menggambarkan dan melambangkan kerendahan hati Kristus yang akan datang. Pembacaan ini adalah pembakar harapan untuk kita semua. Ini terutama untuk mereka yang rendah hati dan yang miskin di dalam roh: “Bersukacitalah, hai puteri Sion… lihatlah rajamu datang… rendah hati dan menunggang keledai.” Sudah tentu, dia datang untuk memberi bantuan dan keadilan kepada orang yang rendah hati.
Kedatangan-Nya ini adalah untuk kita semua. Menjadi orang yang merendah diri adalah yang penting bagi Allah.
Dalam Injil minggu ini, Yesus mendedahkan dan memberi kita kunci kepada hati Bapa-Nya. Kunci ini adalah kerendahan hati. Allah menyatakan diri-Nya kepada orang yang rendah hati dan orang yang hina. Oleh itu, “Allah menentang orang yang sombong, tetapi mengasihani orang yang rendah hati”. Jika kita melayani Allah dengan baik, kita mesti rendah hati seperti Kristus, Tuhan kita.
Hari ini, Yesus mengajak kita: “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban berat, Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.” Ia adalah jemputan yang diberikan kepada mereka yang benar-benar mencari wajah Allah. Ia adalah untuk mereka yang bersedia untuk tunduk dan menyerahkan semuanya kepada Kristus. Dia datang, dan dia menjangkau kita semua. Dia menjemput kita semua.
Itilah sebapnya dalam bacaan kedua, Paulus mengingatkan kita tentang keperluan untuk hidup dalam roh. Ini kerana roh itulah yang melahirkan kerendahan hati. Sebaliknya, daging menghasilkan kesombongan dan segala bentuk maksiat. Daging, seperti yang digunakan oleh Paulus, merujuk kepada sifat manusia. Roh menjadikan seseorang itu aktif dan hidup walaupun dia miskin secara material. Oleh itu, Yesus, dalam khotbah-Nya tentang kebahagiaan, mengajar: “Berbahagialah orang yang miskin di hadapan Allah kerana mereka akan melihat Allah” (Mat 5, 3). Hanya Roh Yesus boleh membantu seseorang mencapai kebaikan ini. Roh duniawi, yang menjelma dalam kebendaan dan ketamakan, tidak mampu melakukan ini. Itulah sebabnya Paulus berkata kepada kita: “Sesiapa yang tidak mempunyai Roh Yesus bukanlah milik-Nya.” [Lj]