
Renungan Mingguan
Hari Minggu Biasa Ke-4, Tahun A
Saudara dan saudari yang terkasih,
Apakah yang kita anggap sebagai kejayaan dalam hidup?
Bagi kebanyakan orang, kejayaan selalunya diukur dengan perkara yang dekat dengan kehidupan harian:
Cukup makan dan minum, anak-anak membesar dengan baik, keluarga hidup rukun, dan rezeki diberkati. Namun, tanpa kita sedari, kita juga boleh terperangkap dengan keinginan untuk sentiasa cukup dan lebih. Banyak harta, lebih dihormati dan ingin dipuji. Apabila hidup terasa kosong atau susah, kita mudah berasa kecewa dan takut, seolah-olah Tuhan jauh daripada kita.
Namun, Sabda Tuhan hari ini mengajar kita satu kebenaran yang penting:
Di hadapan Allah, kekosongan bukanlah kelemahan, tetapi ruang untuk rahmat Tuhan bekerja.
Dalam bacaan pertama, Nabi Zefanya menyeru umat Tuhan dengan kata-kata yang ringkas tetapi mendalam:
“Carilah Tuhan… carilah kerendahan hati.”
Nabi ini mengingatkan kita bahawa keselamatan bukan datang daripada harta, tanah, atau kekuatan diri, tetapi daripada hati yang rendah dan berserah kepada Tuhan. Umat yang dikehendaki Tuhan ialah umat yang tidak sombong, tidak terlalu bergantung pada diri sendiri, tetapi sedar bahawa hidup mereka sepenuhnya berada dalam tangan Tuhan.
Sabda ini mengajak kita bertanya kepada diri sendiri:
Adakah kita masih memberi ruang kepada Tuhan dalam hidup seharian kita?
Atau adakah kita terlalu yakin pada usaha sendiri sehingga lupa berdoa dan berserah?
Mazmur Tanggapan mengingatkan kita bahawa Tuhan membela orang terpinggir, orang miskin dan mereka yang tertindas. Tuhan tidak memandang tinggi rendah seseorang. Dia sentiasa dekat dengan mereka yang tahu mereka memerlukan pertolongan-Nya.
Santo Paulus pula mengingatkan kita bahawa Tuhan sering memilih orang yang sederhana dan biasa-biasa sahaja di mata dunia. Tuhan melakukan ini supaya kita sedar bahawa segala kebaikan yang berlaku dalam hidup kita adalah anugerah-Nya, bukan kerana kehebatan kita sendiri.
Hal ini sangat jelas dalam kehidupan seharian.
Contohnya, apabila berlaku salah faham antara jiran atau dalam keluarga, ada kalanya kita memilih untuk mengalah, meminta maaf, atau berdiam diri demi menjaga hubungan. Orang mungkin memandang kita lemah, tetapi di situlah sebenarnya kasih Tuhan sedang bekerja. Mendamaikan dan menyatukan.
Saudara dan saudari,
Tema renungan hari ini mengingatkan kita bahawa Tuhan tidak dapat mengisi hati yang sudah penuh dengan kesombongan dan rasa diri sudah cukup. Hati yang terbuka dan rendah hati lebih mudah menerima rahmat Tuhan.
Injil hari ini membawa kita kepada Sabda Bahagia.
Yesus berkata: Berbahagialah orang yang miskin di hadapan Allah, yang lemah lembut, yang berbelas kasihan, dan yang membawa damai.
“Miskin di hadapan Allah” bukan bererti malas atau tidak berusaha, tetapi sedar bahawa tanpa Tuhan, kita tidak mampu hidup dengan baik. Segala hasil tanaman, pekerjaan, kesihatan dan keselamatan adalah berkat Tuhan.
Injil ini mengajak kita menilai semula kebahagiaan hidup.
Adakah kita bahagia hanya apabila ada wang dan harta?
Atau adakah kita bersyukur dan tenang walaupun hidup sederhana, kerana kita tahu Tuhan sentiasa bersama kita?
Saudara dan saudari yang dikasihi,
Marilah kita belajar mengosongkan hati daripada rasa sombong, iri hati dan dendam. Isilah hidup kita dengan doa, kesyukuran dan kasih kepada sesama. Terutamanya kepada jiran, keluarga dan mereka yang memerlukan.
Sebagai langkah kecil, marilah kita memilih satu Sabda Bahagia untuk diamalkan sepanjang minggu ini. Mungkin dengan lebih sabar, lebih mudah memaafkan atau lebih ringan tangan membantu orang lain.
Semoga Tuhan memberkati usaha kecil kita, memberkati keluarga dan komuniti kita, serta menguatkan iman kita setiap hari.
Amen.
Kat. Apollonius Sitiol