Apabila Komiti Komunikasi Sosial diwujudkan sejak beberapa tahun lalu di Paroki, saya telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa yang pertama untuk menggalas tanggungjawab ini, ianya seolah-olah sesuatu yang sangat mustahil untuk dilaksanakan terutama sekali apabila saya mengetahui tentang skop tugasan penyampaian maklumat yang sangat luas.
Saya menyedari, walaupun dengan isu halangan diri sentiasa menghantui saya tetapi atas dasar ‘conscience’ iman peribadi ditambah pula dengan sokongan paderi paroki, pengerusi Soccom dan semua ahli jawatankuasa di paroki, secara perlahan-lahan saya menemui rentak pelayanan.
Mulanya melalui kursus asas kewartawanan, fotografi, videografi dan lain-lain lagi. Ketika itu, saya cuba berjinak-jinak dahulu dengan hanya mengambil gambar dalam setiap aktiviti gereja yang mampu saya hadiri. Keadaan pada mulanya sangat kucar-kacir dan selalunya dengan tabiat segan.
Daripada gambar-gambar yang diambil, saya menyedari dengan mengongsikan gambar aktiviti sahaja melalui corong media social gereja seperti Facebook dan Whatsapp, ia dapat menyampaikan maklumat dan mendapat sambutan daripada umat di luar sana.
Saya sebenarnya tidak berminat langsung dengan penulisan artikel, tetapi setelah menghadiri kursus asas kewartawanan dan fotografi yang dianjurkan oleh Komisi SOCCOM Diosis Agung, ia telah banyak membantu saya memperolehi idea yang sangat berharga tentang teknik penulisan termasuk bagaimana untuk menghasilkan mutu cerita berdasarkan gambar. Dengan sokongan editor dan rakan penulis di Catholic Sabah, saya berasa sangat bersyukur kerana setiap artikel yang dihantar sentiasa diterima dan kemudian diterbitkan selepas penyuntingan professional serta galakan mereka.
Kini di paroki, atas dorongan dan sokongan paderi paroki Fr Wilfred Atin melalui kepimpinan pengerusi SOCCOM, Katekis Lewis Juit, kami sedar akan kepentingan peranan kami untuk‘Menjadi Mikrofon Tuhan’. Apatah lagi dalam suasana kebatasan kontak fizikal akibat penularan COVID-19 yang membataskan fungsi gereja.
Tetapi dengan kemajuan teknologi yang ada sekarang, ianya sangat memudahkan penyampaian fungsi gereja seperti Misa Kudus secara langsung, Berita Pastoral melalui laman web paroki sendiri, penyampaian maklumat melalui video di corong Youtube dan lain-lain lagi.
@ Artikel dipetik dari akaun facebook Catholic Sabah laman web Media & Berita