Kepada semua umat beriman di Paroki Penampang,
Salam Damai dalam nama Tuhan Yesus Kristus.
Kita kini berada dalam musim Pra Paska. Hari Rabu yang lalu kita sepatutnya merayakan Misa Kudus Hari Rabu Abu secara talian langsung pada jam 7.00 pm. Tetapi malangnya misa tersebut tertunda selama 45 minit disebabkan bekalan elektrik terputus. Bagaimanapun SocCom paroki sempat merakamkan misa tersebut dengan menggunakan telefon bimbit Kat. Lewis dan menayangkan secara langsung melalui akaun Facebook beliau. Kualiti tayangan Misa Kudus pada Hari Abu secara talian malam itu memang tidak sebaik tayangan misa secara talian selama ini. Tetapi kita bersyukur kepada Tuhan kerana campur tanganNya kerana telah memberikan kita alternatif. Bekalan elektrik kembali satu setengah jam selepas Misa Kudus Hari Rabu Abu selesai.
Saya sangat kasihan dengan umat yang telah menanti dan telah bersiap sedia untuk menyertai misa kudus secara talian pada malam itu. Menurut rekod YouTube paroki tontonan umat pada malam itu lebih daripada 21,000. Secara jujur saya agak terkilan tetapi dalam masa yang sama saya tersentuh dengan usaha ramai umat yang telah membantu mengongsikan kepada umat lain melalui WhatsApp “link” untuk Misa Kudus Hari Abu secara talian untuk paroki yang lain. Begitulah semangat Pra Paska sebenar!
Sungguh pun demikian saya difahamkan bahawa ramai umat telah terlepas mengikuti Misa Hari Rabu Abu sehingga ada yang meminta agar satu lagi Misa Hari Rabu Abu dianjurkan secara online. Saya mohon maaf sebab saya tidak dapat tunaikan permintaan kalian. Saya mahu umat memahami bahawa bukan abu yang ditandakan atas dahi kita yang menjadikan musim Pra Paska bererti tetapi pertobatan sebenar yang lahir dari hati. Lagipun, kalau menurut liturgi tidak ada Hari Khamis Abu atau Hari Jumaat Abu. Jangan bimbang, terlepas mengikuti Misa Kudus Hari Rabu Abu bukan satu dosa kalau tidak disengajakan. Lagipun, kita masih dapat melaksanakan amanat gereja dengan menuruti ketetapan Pra Paska secara serius selama 40 hari.
Hari Minggu yang lalu adalah Hari Minggu Pra Paska Pertama. Gereja dan chapel di bawah naungan Paroki Penampang belum dapat memulakan misa atau liturgi sabda atas dua sebab berikut:
1). PKPP ketika itu masih belum dipastikan sama ada akan dilanjutkan atau tidak. Kalau tidak dilanjutkan pun kita tidak pasti berapa ramai umat yang dibenarkan untuk beribadat dalam satu-satu masa. Kini kita sudah maklum bahawa aktiviti keagamaan di gereja dibenarkan dengan penyertaan ⅓ kapasiti saiz gereja. Bagaimanapun ketika maklumat itu diumumkan secara rasmi, ianya sudah terlewat untuk membuat pendaftaran kehadiran umat.
2). Upacara Pemilihan untuk katekumen paroki telah ditetapkan pada hari minggu lalu dan lebih awal dari pengumuman terkini PKPP. Sebelum ini upacara tersebut dikendalikan setiap tahun di Kathedral Hati Kudus oleh Yang Mulia Bapa Uskup John Wong. Setiap paroki akan menghantar katekumen mereka untuk mengikuti upacara ini. Selepas upacara pemilihan ini para katekumen akan dipanggil para pilihan. Tahun ini tugasan menerima katekumen dalam upacara pemilihan diserahkan kepada paderi paroki kerana Covid-19. Tahun ini kita mempunyai sebanyak 40 katekumen. Teruskan berdoa untuk mereka.
Oleh sebab itu, Misa Kudus dan Liturgi Sabda hanya akan dimulakan kembali di Paroki Penampang pada 27 Feb 2021 (Misa Senja) dan 28 Feb 2021 (Misa Hari Minggu). Misa Kudus melalui talian masih diteruskan pada jam 8.00 am sebab SOP menghadkan penyertaan bagi kanak-kanak berumur 10 tahun ke atas. Umat yang kurang sihat ataupun mempunyai anak kecil disarankan mengikuti Misa Kudus melalui talian ini. Komini Kudus Pandu Lalu akan dibuka setiap hari minggu di Gereja St. Michael, Penampang pada jam 12.00 pm hingga 12.30 pm dan hanya bagi mereka yang telah mengikuti misa secara talian.
Pelayan Altar dibenarkan untuk kembali bertugas tetapi terhad hanya kepada 3 orang sahaja dan bagi yang berumur 10 tahun ke atas.
Setiap zon dikehendaki untuk mengatur petugas-petugas gereja termasuklah “frontliners” dan warden serta memastikan SOP dipatuhi.
Doa Jalan Salib melalui talian akan diadakan pada setiap hari Jumaat bermula minggu ini. Setiap gereja, zon dan Kg. CC (Catholic Community) juga boleh menganjurkan Doa Jalan Salib ini tetapi harus berlandaskan SOP terkini. SocCoM Paroki akan membuat makluman untuk hal ini dari semasa ke semasa.
Saya ingin mengingatkan setiap umat tentang Sampul Surat Pra Paska untuk orang-orang miskin dan memerlukan. Sampul surat tersebut boleh didapati di Pejabat Mission atau boleh salurkan melalui “online transaction”. Sila nyatakan “Lenten Donation” dan ruangan deskripsi jika sumbangan dilakukan secara talian. Sumbangan ini akan dihantar ke Pejabat Keuskupan untuk diagih-agihkan kepada mereka yang miskin di seluruh Keuskupan Kota Kinabalu. Bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai maklumat tentang individu atau keluarga yang sangat susah di paroki kita sila hubungi Pejabat Mission atau ketua Kg. CC kalian.
Saya ingin mengambil kesempatan ini utk berterima kasih kepada setiap umat yang telah bermurah hati menyumbang kepada paroki baru-baru ini. Saya akan sentiasa mendoakan kalian.
Selamat Mengenapi Musim Pra Paska!
Fr. Wilfred Atin
23 Feb 2021