“Efata-Terbukalah”
Ketika mencari inspirisi untuk renungan ini, hujan sedang bercurahan. Ketika menulis renungan ini, hujan telah pun berhenti dan Penampang banjir lagi! Banjir? Siapa sangka akan berlakunya banjir hari ini? Atau pun telah dijangkakan berlaku kerana hujan setiap hari? Mungkin masih ada lagi yang menunding jari, mempersalahkan di antara satu sama lain kerana banjir lagi. Ada juga yang menyalahkan cuaca itu sendiri. Ada pula yang mengatakan ia adalah blessing apabila hujan kerana terasa kemarau berpanjangan, tidak kurang juga yang cursing apabila curahan berlebihan. Bencana alam tidak dapat dielakkan. Yang pastinya banjir menyentuh emosi bagi mereka yang terkesan. Mampukah kita bersikap terbuka menerima ini?
Tahun kedua berperang dengan pandemik Covid-19, virus maju selangkah dengan varian baru yang menakutkan dan membimbangkan. Meragut nyawa tidak mengira umur, saiz fizikal dan jantina. Vaksin ditawarkan namun terdapat keengganan menerimanya. Slogan #kitajagakita# diperkatakan, adakah kita peduli atau memandang ringan? Tanya diri adakah saya terbuka menjaga diri dan menjaga orang lain?
Minggu lalu, paderi paroki mengumumkan pencarian dana bagi projek Kafeteria Paroki. Disebalik ketidakseimbangan ekonomi, pastinya ramai tidak menduga bahawa projek kafeteria paroki diteruskan seolah-olah cendawan tumbuh selepas hujan. Namun apakah kita terbuka untuk memberi sokongan kepada paroki dengan sumbangan ikhlas dalam keadaan ketika ini?
Akhir sekali, telah dilancarkan kempen “Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-Anak Kita” oleh Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan yang bermula pada 1 September 2021-31 Ogos 2022. Tema tahun kedua berfokuskan pengurangan daging, tenusu dan pembaziran makanan dengan amalan-amalan mengurangkan makanan daging, makanan laut dan tenusu, memperbanyakkan makanan berasaskan tumbuhan tempatan, dan menghentikan pembaziran makanan, serta berdoa untuk dan bersama semua ciptaan Tuhan setiap hari. Sesuatu yang mengubah amalan hidup mahupun kegemaran kita. Sesuatu yang mencabar bagi penggemar daging, tenusu, makanan laut untuk mengurangkan kuantiti pengambilan. Namun suatu usaha untuk mengekalkan keharmonian bumi untuk dilindungi bersama. Sekali lagi, adakah kita terbuka dengan kempen ini?
“Efata” iaitu “Terbukalah” adalah pesanan Injil pada hari ini. Yesus telah memulihkan deria pendengaran dan percakapan orang tersebut. Kita yang berhadapan dengan realiti kehidupan; banjir, pandemik, penyakit yang mencabar keimanan kita, adakah kita terbuka dan bersedia? Kita dipanggil untuk melihat dengan mata keimanan dan penerimaan. Dalam kemanusiaan kita, kita cenderung dengan hanya melihat perbezaan umur, warna, latar belakang, jantina, status sosioekonomi, kesejahteraan fizikal, politik dan sebagainya. Perbezaan ini membawa penilaian. Yesus, yang melakukan semua perkara dengan baik, datang untuk membuka telinga dan melonggarkan lidah supaya semua orang dapat memuji Bapa syurgawi. Dia datang untuk membawa kita kehidupan baru di dalam dia. Marilah dengan iman kita datang dan membuka hati kita kepada Tuhan yang mencintai dan penyembuh kita.
Ditulis oleh,
Rev. Fr. Gilbert Marcus