Minggu Biasa 28, Tahun B. 10hb. Oktober 2021 PERGILAH JUAL SEGALA YANG KAMU MILIKI….SEMPITNYA JALAN MENUJU KE SURGA, TETAPI PASTI SAMPAI. Keb. 7:7-11 Ibr. 4:12-13 Mrk. 10: 17-30
Kehidupan zaman sekarang sungguh mencabar. Seolah-olah hidup adalah satu perlumbaan untuk mendapat kejayaan. Ramai orang sanggup melakukan dan menghalalkan berbagai cara untuk mendapatkan kekayaan, pangkat, status hidup dan kebahagiaan. Kekayaan harta duniawi tidak dapat dibawa mati, tetapi kekayaan kekudusan menjamin kehidupan kekal…surga.
Dalam bacaan Injil mengungkapkan seorang yang datang kepada Yesus, ingin memiliki kedua-duanya. Dia mencari kehidupan kekal, sementara itu, juga tidak mahu kehilangan hartanya.
Ada tiga perkara penting untuk kita renungkan dari bacaan Injil.
Hidup kekal adalah anugerah dari Tuhan. Kita dicipta oleh Allah sebagai ciptaan yang paling tinggi, memiliki kuasa kuasa atas segala ciptaan Allah. Namun manusia menyalahgunakan kuasa dan anugerah Allah itu untuk kepentingan peribadi. Manusia lebih cenderung taat kepada kenikmatan duniawi sehingga sering melupakan Allah sebagai pencipta. Perlu diingati dan disedari bahawa kesempurnaan tidak akan tercapai dengan harta kekayaan atau usaha manusia sendiri kerana kesempurnaan itu adalah anugerah Allah.
Yesus mengatakan, sukar sekali orang yang hatinya terikat pada harta duniawi memperolehi kehidupan kekal. Masuk surga adalah keputusan Allah. Maka dengan itu harus kita mengikuti Allah tanpa halangan, mengikuti dengan taat setia dan penuh dengan iman kepercayaan. Harta duniawi sama sekali tidak menjamin kehidupan kekal. Jadi adakah salah menjadi orang kaya? Tidak salah, itu hak semua orang, tetapi jangan sombong dengan kekayaan kita miliki, kerana semua kita miliki adalah pemberian Tuhan. Yang paling penting adalah menggunakan segala sesuatu untuk kemulian Tuhan.
Mengikuti Yesus perlu pengorbanan. Sebagai pengikut Yesus harus setia mengikuti serta menghayati perjalanan Yesus sendiri. Menjadi pengikut Yesus tidak menjamin untuk mendapat kebahagiaan, bahkan penderitaan dan cubaan. Menjadi seorang pelayan yang selalu mewartakan Kerajaan Allah belum tentu mendapat jaminan kebahagian dan kesenangan. Mungkin mengalami banyak kesusahan. Janganlah menyerah ketika mengalami penderitaan, jadikan penderitaan dan cubaan sebagai cabaran untuk tumbuh dewasa serta untuk mengembangkan, memperkukuhkan dan mendewasakan iman kita. Mengikut dan melayani Yesus dengan sungguh, pasti akan memperoleh harta di surga dan kehidupan kekal. Kerana Yesus sendiri mengatakan dalam Yoh. 14 : 6 “AKULAH JALAN DAN KEBENARAN DAN HIDUP”