MINGGU KE-5 MUSIM PRA-PASKA (C)
Pada tahun 1987 sekitar bulan September, seorang penuntut universiti bernama Francesco Cirillo menyedari bahawa dia mempunyai masalah pengurusan masa serta penumpuan yang sering terganggu setiap kali dia mengulangkaji pembelajarannya. Pada masa itu Francesco sedang menuntut di Universiti Sapienza, Roma dalam bidang Kesusteraan Klasik. Keadaan itu telah mendorongnya untuk mencipta satu cara pengurusan masa yang dia telah namakan sebagai “Pomodoro Technique”. Pomodoro adalah Bahasa Italy untuk tomato. Francesco menamakan teknik tersebut “pomodoro” kerana dia menggunakan “pemasa dapur” (kitchen timer) yang berbentuk sebiji tomato semasa mengexperimentasikan teknik pengurusan masa itu.
Apa sebenarnya “Pomodoro Technique” ini? Teknik ini digunakan sebagai pengurusan masa yang mana membahagikan masa dalam selang waktu 25 minit kerja dan 5 minit rehat sebelum meneruskannya kembali kerja tersebut. Keadaan ini akan berterusan sebanyak 4 selang waktu kerja dan rehat kemudian berehat panjang selama 15 hingga 30 minit. Proses yang sama diulangi sehingga sesuatu kerja itu selesai. “Pomodoro Technique” meningkatkan penumpuan (focus), mengurangkan penangguhan (procrastination) dan mengelakkan gejala keletihan fizikal dan psikologikal (burnout).
Apa perkaitan “Pomodoro Technique” dengan Musim Pra-Paska? Kehidupan sebagai seorang Katolik seharusnya senantiasa berfokus kepada Firman Tuhan dan ajaran-ajaran Gereja Katolik samaada tradisi mahupun magisterium. Tetapi seringkali ada banyak “gangguan-gangguan” duniawi yang menghalang kita untuk berfokus dan membuatkan kita menangguhkan hal-hal kerohanian. Ada juga di antara kita yang sudah “burnout” kerana pelayanan dalam gereja, perkerjaan yang seolah tidak pernah habis dan kehidupan yang hambar tidak bererti. Musim Pra-Paska adalah masa yang diperuntukan oleh gereja kepada kita untuk berhenti sejenak dan mengamati kehidupan Kristiani kita kalau-kalau selama ini kita terlampau melayani gangguan-gangguan duniawi sehingga mengabaikan kehidupan Rohani kita. Tetapi tidak hanya berhenti, kita dikehendaki untuk fokus kembali dan bergiat menguruskan masa kita secara bijaksana untuk Tuhan dan gereja.
Firman Tuhan dalam Pewartaan Pertama (Isiah 43:16-21) Minggu Pra-Paska Ke-5 ini memberitahu kita tentang permulaan baru lewat karya Tuhan yang menakjubkan bagi bangsa yang telah dipilihNya. Tuhan mahu mereka melupakan hal-hal lama dan berfokus dengan perkerjaan baru Tuhan pada mereka. Musim Pra-Paska ini juga adalah masa untuk kita melihat dengan penumpuan penuh pada pembaharuan yang Tuhan sedang kerjakan buat kita. Aktiviti pastoral dan kerohanian anjuran gereja seperti Jalan Salib sepatutnya memperbaharui kehidupan kita semua.
Di dalam Pewartaan Kedua (Philippians 3:8-14) Rasul Paulus mengingatkan umat-umat di Phillipi bahawa kebenaran bukan dari hukum tetapi dengan mengenal Tuhan Yesus. Ini lah yang kita semua sedang lakukan semasa Musim Pra-Paska ini. Kita mahu mengenal Tuhan Yesus dengan lebih sungguh lagi. Kita mengaggungkan kekuasaanNya dan dengan menghayati kesengsaraanNya membantu kita untuk lebih fokus terhadap “Dunia dan Surga baru” yang Tuhan telah anuggerahkan kepada kita ini.
Injil Tuhan minggu ini pula (John 8:1-11) bukan berfokus kepada dosa yang telah dilakukan oleh perempuan itu tetapi terhadap ketidaksempurnaan setiap kita. Setiap kita juga adalah pendosa dan kerana itu kita tidak harus menghakimi sesama, kita tidak harus terlalu sombong dan angkuh dengan keberadaan kita – wang, status mahupun kuasa. Namun yang paling penting kita harus pelajari dari Injil minggu ini ialah BELAS KASIHAN TUHAN. Tuhan sentiasa berbelaskasih kepada kita semua yang mendengarkan Dia.
“Pomodoro Technique” tidak terbatas dengan pengurusan masa untuk belajar dan menyelesaikan tugasan kerja. Ianya juga dapat membantu kita dalam pengurusan masa untuk Tuhan dan sesama kita supaya kita juga dapat merealisasikan kehidupan baru sambil kita, para peziarah pengharapan berjalan di dalam dunia yang fana ini menuju BUMI DAN SORGA YANG BARU.
Fr. Wilfred Atin