
Renungan Malam Paska
Saudara dan saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Selama 40 hari prapaska, kita dipanggil untuk memperbaharui hati kita melalui doa, puasa, dan amal kasih. Ini adalah masa untuk mendekatkan diri kepada Tuhan dan menyedari bahawa kita semua memerlukan rahmat dan pengampunan-Nya. Tuhan sentiasa membuka tangan-Nya untuk menerima kita kembali, walaupun kita sering jatuh dalam kelemahan dan dosa.
Yesus memulakan misi-Nya dengan pembaptisan di Sungai Jordan, kemudian berpuasa selama 40 hari di padang gurun dan melawan godaan iblis. Selama tiga tahun, Dia mengajar dan menyembuhkan, menunjukkan kasih Tuhan kepada semua orang. Akhirnya, Dia rela menderita dan disalibkan demi keselamatan kita semua. Namun kematian-Nya bukanlah pengakhiran. Yesus bangkit! Kemenangan-Nya atas maut menjadi tanda harapan terbesar bagi kita semua.
Kebangkitan Yesus telah mengubah segalanya. Seperti mana Maria Magdalena dan kawan- kawannya mendapat kejutan di makam kubur Yesus, “Kubur kosong bukanlah kegagalan tetapi lambang kehidupan baru’’. Cahaya telah mengalahkan kegelapan, kasih telah menewaskan kebencian, dan kehidupan menang atas kematian.
Kristus telah bangkit! Alleluia!
Inilah kata-kata kemenangan dan sukacita yang patut kita rayakan, bukan hanya hari ini, tetapi setiap hari dalam hidup kita.
Renungan untuk kita semua:
Saudara-saudari, bagi para katekumen yang menerima pembaptisan pada malam Paska ini, inilah permulaan kehidupan baru dalam Kristus. Bagi kita pula semua, Paska adalah panggilan untuk memperbaharui iman, meninggalkan dosa, dan hidup sebagai anak-anak terang.
Tuhan Yesus telah berkorban demi keselamatan kita. Dia menebus dosa-dosa kita dengan mengorbankan diri-Nya di atas kayu salib. Itulah kasih yang sejati dan kasih yang menyelamatkan.
Semoga sukacita Paska terus menyala dalam hati kita semua. Bukan hanya pada hari ini, tetapi sepanjang hidup kita.
Selamat Hari Paska.
Tuhan telah bangkit! ……. Alleluia! Alleluia! Alleluia!
Kat. Apollonius Sitiol