Saudara dan saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Hari ini, kita bersama-sama merayakan Hari Minggu Paskah Kedua, yang juga dikenali sebagai Hari Minggu Kerahiman Ilahi. Ini adalah hari yang sangat istimewa kerana kita diingatkan tentang kasih Tuhan yang tidak pernah berakhir, dan belas kasihan-Nya yang mampu mengampuni dosa kita, walau sebesar mana pun dosa itu.
Perayaan ini bermula daripada penampakan Tuhan Yesus kepada Santa Faustina Kowalska, seorang biarawati dari Poland. Dalam penglihatan itu, Yesus muncul dengan pakaian putih, dan dari Hati-Nya yang terbuka memancar dua cahaya: satu merah dan satu putih. Cahaya merah melambangkan Darah Yesus yang menebus dosa kita, dan cahaya putih melambangkan Air yang menyucikan kita. Kedua-dua cahaya ini keluar dari Hati Yesus yang terluka di kayu salib—tanda kasih-Nya yang besar dan pengampunan yang sejati.
Inilah Kerahaniman Ilahi: Tuhan Yesus datang bukan untuk menghukum kita, tetapi untuk menyelamatkan kita.
Dalam Injil hari ini, para murid berada dalam bilik yang tertutup kerana takut. Mereka gelisah dan mungkin juga rasa bersalah kerana meninggalkan Yesus semasa Dia disalibkan. Tapi Yesus datang kepada mereka dan berkata:
“Damai sejahtera bagi kamu.”
Yesus tidak marah. Dia tidak menegur mereka dengan kasar. Sebaliknya, Dia datang membawa damai dan pengampunan. Inilah wajah kasih Tuhan—lemah lembut, sabar, dan penuh pengertian.
Kita juga dengar tentang Rasul Tomas, yang tidak percaya bahawa Yesus sudah bangkit. Katanya, kalau dia tidak melihat dan menyentuh luka Yesus, dia tidak akan percaya. Tapi Yesus tidak menghukum Tomas. Sebaliknya, Yesus datang untuk dia dan berkata:
“Jangan ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.”
Tomas akhirnya berseru:
“Tuhanku dan Allahku!”
satu kesaksian iman yang hidup, mengingatkan kita akan kasih Tuhan yang tidak berkesudahan dan janji keselamatan yang diberikan kepada semua yang percaya.
Saudara dan saudari, kadang-kadang kita juga seperti Tomas. Kita ragu-ragu. Kita berdosa. Kita takut. Tetapi Yesus tidak pernah menjauhkan diri dari kita. Dia mahu datang kepada kita, masuk ke dalam hati kita, dan berkata:
“Damai sejahtera bagimu. Aku mengasihimu. Datanglah kepada-Ku.”
Yesus tahu kita ada luka. Dia tahu kita ada rasa malu dan beban. Tetapi Dia tidak pernah rasa bosan menunggu kita kembali. Dia tidak pernah penat mengasihi kita.
Dalam bacaan pertama, para Rasul yang dulu takut, kini menjadi berani. Mereka sembuhkan orang sakit, menyebarkan berita gembira, dan bawa ramai orang kepada Tuhan. Apa yang ubah mereka? Kerana mereka sudah merasai kasih dan kerahiman Yesus yang bangkit. Mereka tahu dosa mereka telah diampuni. Mereka tahu Tuhan mereka hidup.
Begitu juga kita. Bila kita sungguh percaya bahawa Yesus hidup dan mengasihi kita, hidup kita akan berubah. Kita akan jadi lebih tenang, lebih sabar, lebih pengampun, dan lebih berani untuk mengasihi sesama.
Setiap kali kita datang ke Misa Kudus atau Ibadat Sabda, kita berjumpa dengan Yesus yang hidup. Saat paderi atau katekis mengangkat Hosti dan berkata:
“Lihatlah Anak Domba Allah, yang menghapus dosa dunia,”
Yesus benar-benar hadir. Dia tidak jauh. Dia mahu memberikan Diri-Nya untuk kita semua.
Tetapi kasih Tuhan ini perlukan jawapan daripada kita.
Adakah kita sedia membuka hati kepada-Nya?
Adakah kita sedia tinggalkan dosa dan kembali kepada pelukan-Nya?
Adakah kita mahu menjadi saksi kasih Tuhan dalam hidup kita setiap hari?
Saudara dan saudari yang dikasihi,
Hari ini Yesus mengajar kita satu doa yang sangat mudah tapi penuh makna. Doa ini diberikan kepada Santa Faustina, dan sesuai untuk kita semua ucapkan bila-bila masa:
“Yesus, aku percaya kepada-Mu.”
Doa ini pendek, tetapi penuh makna. Ia membuka hati kita kepada kasih Tuhan. Ia membawa damai dan harapan, terutama bila kita rasa lemah atau kecewa.
Dan semoga hidup kita menjadi tanda kasih dan kerahiman Tuhan yang hidup.
Tuhan Yesus sudah bangkit. Dia hidup. Dia bersama kita.
Mari kita hidup dalam damai, dalam pengampunan, dan dalam kasih.
Katekis Larry Joy Tokuzip