Hari ini 29.6.25 kita merayakan Hari Raya Santo Petrus dan Santo Paulus. Mungkin ada pertanyaan kenapa Gereja Katolik diseluruh dunia merayakan hari raya mereka bersama dalam satu perayaan. Cuba kita lihat bersama penjelasan dari pemimpin Gereja kita.
Yang pertama: Kedua-dua mereka adalah tonggak asas Gereja. Petrus adalah batu dimana Tuhan Jesus mendirikan Gerejanya. Paulus pula adalah penginjil utama Khabar Gembira bagi orang-orang kafir diseluruh dunia pemerintahan Roma. Dan bersama-sama kedua-dua mereka menyediakan jalan asas untuk iman Kristian dan penyebarannya seterusnya.
Yang kedua ialah Pelayanan mereka yang saling berkaitan. Petrus memberi tumpuan untuk menguatkan kedudukan Gereja di Roma sementara Paulus memberi fokus kepada penginjilan dan untuk mendalami pengertian teologi Gereja. Walaupun cara mereka berlainan tetapi kedua-dua cara mereka sangat diperlukan untuk perkembangan dan kehidupan Gereja.
Yang ketiga ialah Kematian sebagai martir. Kedua-dua santo ini juga mati sebagai martir di Roma. Petrus disalibkan secara terbalik sementara Paulus dipancung kepalanya.
Yang keempat ialah Tanda kesatuan. Perayaan bersama mereka juga menekankan kesatuan Gereja walaupun mempunyai umat diseluruh dunia yang berlainan latarbelakang dan pengalaman.
Melalui penerangan yang ringkas ini dan juga dari 3 pembacaan minggu ini ada 3 perkara yang boleh kita buat sebagai refleksi samada secara peribadi ataupun sebagai komuniti.
Yang pertama ialah Tuhan memilih yang lemah untuk memimpin dan melayani dalam Gereja. Petrus telah meninggalkan Jesus keseorangan di Kabun Gethsemani walaupun sebelum itu dia telah lantang bersuara untuk sanggup mengorbankan diri untuk Jesus. Dia juga telah menafikan sebanyak tiga kali yang dia mengenali Jesus.
Paulus juga telah pada mulanya memberi tumpuan sepenuhnya untuk membinasakan kesemua pengikut Jesus.
Jadi janganlah kita guna alasan “saya tidak holy” untuk tidak mahu melayani. Tuhan akan tetap menggenapi sesiapa yang menyahut panggilanNya untuk melayani. Dan sebagai pengikut Jesus kita semua dipanggil untuk melayani samaada dalam keluarga kita, di KKD kita, di paroki kita, dalam pekerjaan kita dan banyak lagi. Yang penting telinga hati kita terbuka mendengar panggilan Tuhan.
Refleksi kedua ialah Kepercayaan kita harus menjadi landasan kehidupan kita .
Ini bererti bahawa dalam doa peribadi kita perlu tanya diri sendiri:
Siapakah Jesus untuk saya? Jawapan kita akan menentukan siapa yang menjadi landasan kehidupan kita!
Janganlah juga pula nama Jesus hanya keluar dari mulut kita hanya pada hari minggu sahaja tetapi pada setiap hari Jesuslah yang membimbing, memimpin setiap sudut kehidupan kita.
Refleksi ketiga ialah Kitalah yang dipanggil untuk mengongsikan Khabar Gembira untuk dunia kita pada masa ini seperti Santo Paulus menginjil pada zamannya.
Dalam Injil hari ini Jesus juga bertanya kepada setiap kita “Tetapi apa katamu, siapakah Aku ini?” Marilah kita berdoa agar bersama Santo Petros kita dapat menjawab dari sedalam-dalamnya hati kita “Engkau adalah Mesias, Anak Allah yang hidup!” supaya pada akhirnya kita juga dapat ada keyakinan bersuara seperti St. Paulus:
“Aku telah mengakhiri pertandingan dengan baik, aku telah mencapai garis akhir, dan aku telah memelihara iman. Sekarang telah tersedia bagiku mahkota kebenaran yang akan dikurniakan kepadaku oleh Tuhan, …dan bukan hanya kepadaku, tetapi juga kepada semua orang yang merindukan kedatanganNya.
Perkongsian oleh
Katekis Eligius Samuel.