
RENUNGAN HARI MINGGU BIASA KE-19 TAHUN C
Saudara dan saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Pernahkah kita merasa kecewa apabila seseorang tidak menepati janji? Atau pernahkah kita menanti sesuatu yang kita harapkan, tetapi ia tidak juga sampai-sampai? Dalam kehidupan ini, kekecewaan terhadap janji yang tidak ditepati boleh membuatkan kita hilang kepercayaan bahkan terhadap Tuhan sendiri.
Namun hari ini, Firman Tuhan mengingatkan kita akan satu kebenaran yang tidak pernah berubah: Tuhan kita adalah Tuhan yang setia pada janji-Nya. Dia tidak pernah mungkir. Dia tidak pernah lupa. Dan Dia tidak pernah melambatkan janji-Nya tanpa tujuan. Walaupun kita rasa segalanya seperti sudah terlambat, Tuhan tetap sedang bekerja dalam cara-Nya sendiri yang kadangkala tidak kita fahami.
Apabila umat Israel merenung kembali sejarah hidup mereka, bagaimana Tuhan telah menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir, bagaimana Dia melindungi mereka di padang gurun, dan bagaimana setiap janji yang diberikan kepada nenek moyang mereka dipenuhi satu per satu. Renungan ini memberi mereka penghiburan dan harapan, bahawa Tuhan yang sama masih setia hari ini dan akan terus menyertai mereka di masa akan datang.
Kita juga boleh bertanya kepada diri sendiri: adakah kita mampu melihat kembali hidup kita dan menyedari kesetiaan Tuhan? Walaupun tidak semua berjalan seperti yang kita impikan, pasti ada saat-saat dalam hidup kita di mana Tuhan hadir, menolong, dan membuka jalan yang tidak kita jangka.
Kemudian Kita belajar daripada Abraham dan Sara, sepasang suami isteri yang sudah lanjut usia, tetapi tetap mempercayai janji Tuhan bahawa mereka akan memiliki seorang anak. Secara logik dan fikiran manusiawi, itu adalah mustahil. Tetapi mereka memilih untuk percaya dan bukan kepada situasi, tetapi kepada Tuhan yang berjanji. Mereka tidak hidup berdasarkan apa yang mereka lihat dengan mata, tetapi berdasarkan apa yang mereka percayai dalam hati, kerana mereka yakin bahawa Tuhan yang menjanjikan itu setia.
Dan, Yesus mengingatkan para murid untuk sentiasa berjaga-jaga. Tuhan akan datang seperti pencuri, pada waktu yang tidak kita sangka. Tetapi bagi mereka yang bersedia, kedatangan Tuhan bukanlah sesuatu yang menakutkan, sebaliknya ia adalah saat penyelamatan dan pembebasan. Tuhan datang bukan untuk menghukum, tetapi untuk menggenapi janji-Nya.
Apa maksudnya “berjaga-jaga”? Ia bermaksud kita hidup dalam iman yang aktif, taat kepada kehendak Tuhan, mengamalkan kasih kepada sesama, dan hidup dalam Iman yang tidak tergugat walaupun diuji.
Iman seperti ini menuntut kesetiaan dan kesabaran, terutamanya dalam masa yang sukar. Mungkin kita juga sedang menunggu sesuatu daripada Tuhan seperti penyembuhan, jawapan doa, ketenangan, atau bimbingan dalam keputusan penting. Kita diundang untuk terus percaya dan berharap, walaupun semuanya kelihatan tidak pasti.
Bagaimanakah iman harus dihidupi dalam kehidupan seharian kita?
Dalam keluarga:
Ramai ibu bapa masa kini terlalu menekankan kejayaan akademik anak-anak, sehinggakan pembentukan iman dan nilai kekeluargaan selalu diketepikan. Sedangkan, keluarga adalah tempat pertama di mana anak-anak mengenal kasih Tuhan.
Mengasihi Tuhan dalam keluarga bermula dengan perkara yang sederhana tetapi sangat bermakna: berdoa bersama, saling menghormati, dan menjadikan iman sebagai asas dalam setiap keputusan. Ibu bapa dipanggil bukan hanya menjadi pencari rezeki, tetapi juga penjaga iman dan penyebar kasih dalam rumah tangga.
Dalam pekerjaan:
Kejayaan duniawi tidak semestinya mencerminkan kejayaan di mata Tuhan. Soalnya bukan sekadar sejauh mana kita berjaya, tetapi bagaimana kita bekerja.
Adakah kita jujur dalam tugasan kita? Adil dalam membuat keputusan? Amanah dalam tanggungjawab yang diberikan?
Pekerja atau pemimpin yang menyalahgunakan kuasa bukan sahaja mengkhianatikepercayaan manusia, tetapi juga melanggar perjanjian moralnya dengan Tuhan. Iman dalam pekerjaan nyata dalam sikap telus, rendah hati, dan kesediaan berkorban demi kebaikan bersama.
Dalam pelayanan Gereja atau masyarakat:
Pelayanan bukanlah tempat untuk mencari pujian atau pengiktirafan. sebaliknya untuk mewujudkan kasih Tuhan dalam tindakan atau perbuatan.
Seorang pelayan sejati tidak menonjolkan diri, tetapi menyerahkan segalanya kepada Tuhan. Dia melayani dalam diam, dengan hati yang tulus, kerana dia tahu bahawa setiap pelayanan adalah persembahan kasih kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.
Iman yang hidup menjadikan kita prihatin terhadap keperluan sesama, dan mendorong kita untuk menjadi saksi kasih di tengah komuniti / masyarakat.
Iman bukan sekadar sesuatu yang kita percaya dalam hati, tetapi sesuatu yang mesti kita hidupi dalam tindakan atau perbuatan di rumah, di tempat kerja, dan dalam masyarakat. Bila iman menjadi dasar hidup, kasih Tuhan akan terpancar melalui setiap kata dan perbuatan kita.
Saudara dan saudari sekalian,
Hari ini, kita diajak untuk mengingati kesetiaan Tuhan, mempercayai janji-Nya, dan sentiasa bersedia menyambut kedatangan-Nya. Hidup ini bukan semata-mata tentang apa yang kita nampak sekarang, tetapi tentang sejauh mana kita percaya kepada Tuhan yang memegang masa depan kita.
Tuhan telah berjanji akan keselamatan, kehidupan kekal, dan kedamaian yang sejati. Walauipun sekarang kita belum melihat semuanya, seperti Abraham dan Sara, marilah kita terus percaya, berharap, dan setia, kerana Tuhan kita tidak pernah mungkir janji.
“Tuhan tidak pernah lewat, dan tidak pernah berdusta. Dia akan genapi janji-Nya tepat pada waktunya.” Amen.
Tuhan Memberkati kita semua.
Kat. Larry Joy Linus Tokuzip