Renungan Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat Ke Surga
Pembacaan: Why. 11:19. 12:1-6-10; Mzm. 44:10-12.16.R.v.10: 1Kor. 15:20-26; Injil: Lk. 1:39-56
Shalom saudara dan saudari dalam Kristus,
Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat Ke Surga merupakan salah satu perayaan tertua dalam gereja Katolik. Pada 1 November 1950, Paus Pius XII mengisytiharkannya: “Bonda Tuhan Yang Tak Bernoda, Maria yang sentiasa perawan, setelah menyelesaikan perjalanan hidupnya di dunia, telah diangkat tubuh dan jiwa ke dalam kemuliaan surgawi.”
Bacaan pertama dari kitab Wahyu menceritakan penglihatan Yohanes tentang tabut perjanjian di syurga dan Wanita yang berpakaian matahari. Selepas melahirkan Bayinya, dia mengalami kesengsaraan besar tetapi Tuhan melindungi dia dan Anaknya. Sejak zaman gereja awal, Perawan Maria yang Diberkati telah dikaitkan dengan tabut perjanjian kerana kerelaannya menjadi tabut perjanjian baru dengan mengandungkan Kristus untuk kepenuhan perjanjian baru Tuhan.
Dalam bacaan kedua, Paulus mengingatkan kita tentang kebangkitan Kristus dan kepentingannya bagi semua orang yang percaya. Harapan kita terletak pada fakta bahawa Kristus, yang sendiri telah dibangkitkan oleh Bapa, juga akan memudahkan kebangkitan kita pada masa yang ditetapkan-Nya. Adakah Yesus meninggalkan ibu dan murid pertamanya? Memang tidak, kerana Dia berjanji: “Dan apabila Aku telah pergi ke situ dan telah menyediakan tempat bagimu, Aku akan datang kembali dan membawa kamu ke tempat-Ku, supaya di tempat di mana Aku berada kamupun berada” (Yoh 14:3). Jadi, apa yang kita raikan hari ini adalah janji yang ditepati dalam gaya yang paling terhormat, cemerlang, dan manis. Kristus melindungi bukan sahaja jiwa ibu-Nya yang dikandung tanpa dosa tetapi juga tubuhnya yang utuh dan tidak bercela.
Oleh itu, Injil hari ini mengingatkan kita bahawa Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat Ke Surga boleh difahami dengan pemahaman yang baik tentang kepercayaan Katolik berkenaan dengan peribadi Kristus dan peribadi Maria. Hanya Maria, yang dilahirkan tanpa noda dosa asal, boleh melahirkan Kristus iaitu, Tuhan sepenuhnya dan manusia sepenuhnya. Oleh kerana peranannya dalam rancangan keselamatan Tuhan, dia tidak mengalami kesan dosa, iaitu kematian dan kebinasaan. Maria adalah orang pertama yang menerima kepenuhan penebusan yang dimenangi oleh Anaknya untuk seluruh umat manusia. Oleh itu, Gereja mengakui Maria sebagai tanda keselamatan yang dijanjikan kepada semua orang.
Hari Raya hari ini, memberi kita harapan yang besar ketika kita merenungkan aspek yang luar biasa daripada wanita yang hebat ini dan model iman kepada iman kita, iaitu Perawan Terberkati, dan Bonda Tuhan. Dia memotivasi kita melalui teladan dan doa untuk bertumbuh dalam rahmat Tuhan, untuk menerima kehendak-Nya, untuk mengubah hidup kita melalui pengorbanan dan pengakuan dosa. Di atas segala-galanya, dia mendorong kita untuk mencari dan menumpukan perhatian kita pada kesatuan yang kekal dalam kerajaan syurga. Amen.
Damai sejahtera bersama semua!
Kat. Richard Jomiji Kinsil, St. Michael Parish Penampang.
Pastoral Formation Office, Couple For Christ Sabah.