Renungan Minggu Biasa ke-28 Tahun C
Saudara-saudari terkasih,
Izinkan saya bercerita.
Ada seorang lelaki yang setiap hari mengeluh:
“Kerja saya susah, keluarga tidak faham saya, hidup ini penuh masalah.”
Suatu hari, seorang sahabat menegurnya:
“Cuba kamu hitung berkat yang kamu terima hari ini.”
Lelaki itu terdiam. Dia mula berfikir: pagi tadi dia masih bangun dengan nafas, masih boleh makan, masih ada keluarga, masih ada pekerjaan. Dia sedar bahawa di tengah kesusahan, sebenarnya dia memiliki banyak hal untuk disyukuri. Sejak hari itu, hidupnya berubah. Dia masih ada masalah, tetapi hatinya menjadi lebih damai kerana dia belajar bersyukur.
Injil hari ini tentang sepuluh orang kusta. Semuanya sembuh, tetapi hanya satu yang kembali kepada Yesus dan mengucap syukur. Orang itu seorang Samaria, orang asing. Yang lain mungkin terlalu sibuk merayakan kesembuhan mereka, sehingga lupa kepada Tuhan yang menyembuhkan.
Yesus memuji orang Samaria itu: “Imanmu telah menyelamatkan engkau.”
Saudara-saudari, berapa kali kita menjadi seperti sembilan orang kusta itu? Kita menerima berkat – kesihatan, keluarga, pekerjaan, makanan setiap hari – tetapi kita lupa kembali kepada Tuhan dan bersyukur.
Kadang-kadang kita hanya ingat bersyukur bila ada mukjizat besar. Padahal setiap nafas yang kita hirup adalah mukjizat.
Bacaan pertama mengisahkan Naaman, seorang panglima bangsa asing yang disembuhkan dari kusta. Dia juga tidak lupa bersyukur, bahkan mengakui Tuhan Israel sebagai Allah yang benar. Syukur membuat hatinya berubah, bukan hanya tubuhnya.
Maka saudara-saudari, hari ini kita belajar bahawa syukur adalah tanda iman sejati. Orang yang bersyukur akan lebih dekat dengan Tuhan, lebih tabah dalam penderitaan, dan lebih bahagia dalam hidup.
Mari kita renungkan:
Apakah saya lebih banyak mengeluh daripada bersyukur?
Apakah saya cepat lupa kepada Tuhan setelah menerima rahmat-Nya?
Bagaimana saya boleh menjadikan hidup saya sebagai ucapan syukur setiap hari?
Saudara-saudari terkasih, mari kita jadi seperti Naaman dan orang Samaria itu. Mari kita kembali kepada Yesus, berlutut di hadapan-Nya, dan berkata:
“Terima kasih, Tuhan. Terima kasih untuk hidup ini. Tambahkanlah iman saya, supaya saya tidak hanya menerima berkat-Mu, tetapi selalu kembali kepada-Mu dengan hati yang bersyukur.”
Amin.
Disediakan : Kat. George Abel