
MINGGU KEDUA PULUH DUA MASA BIASA TAHUN A
Jeremiah 20:7-9; Rom 12:1-2; Mat 16:21-27
RENUNGAN:
Mengikut Yesus bererti memikul Salip. Adakalanya dalam hidup kita, kita merasa bahawa mengikuti Tuhan sepatutnya menjadikan hidup kita lebih mudah. Kita berdoa, kita pergi ke Gereja, kita berusaha melakukan yang baik dan kita berharap semuanya akan berjalan dengan lancar. Tetapi kenyataannya, hidup sebagai pengikut Kristus tidak selalu mudah. Kadang-kadang kita mengalami kesusahan, kita kecewa, dan bertanya, ‘Tuhan, mengapa saya perlu melalui semua ini?.
Pembacaa hari ini mengajak kita memahami bahawa menjadi murid Kristus bukan bermaksud kita tidak akan mengalami salib. Sebaliknya, Yesus mengajar kita bagaimana menghadapi salib dengan iman.
Dalam pembacaan pertama, kita telah dengar Nabi Jeremiah meluahkan isi hatinya kepada Tuhan. Dia berasa tertipu, letih dan tertekan kerana tugas yang diberikan Tuhan kepadanya – seakan-akan dia mahu berhenti. Tetapi kemudian dia mengakui bahawa firman Tuhan seperti api yang menyala dalam hatinya. Dia tidak mampu menyimpannya dan walaupun pelayanan itu berat, dia tetap harus mewartakan firman Tuhan.
Bukankah kita juga kadang-kadang mengalami perkara yg sama? Kita ingin melakukan yg benar, tetapi kita mendapat tentangan. Kita cuba membantu orang lain, tetapi usaha kita tidak dihargai. Kita cuba hidup dengan iman, tetapi orang lain mungkin mengejek atau tidak memahami kita. Pada saat ini, kita perlu bertanya, ‘Apakah saya masih sanggup setia kepada Tuhan walaupun jalan ini tidak mudah?.
Dalam Injil, Yesus mula memberitahu para murid bahawa Dia harus pergi ke Jerusalem, mengalami banyak penderitaan, dibunuh dan dibangkitkan pada hari ketiga. Kita telah dengar Peter tidak dapat menerima kata-kata itu lalu menarik Yesus ke tepi dan berkata, ‘Ya, Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!’. Peter sebenarnya bermaksud baik. Dia tidak mahu Yesus menderita. Tetapi Yesus menegurnya dengan sangat tegas, ‘Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!’.
Mengapa Yesus begitu tegas kepada Peter?. Kerana Peter menginginkan Mesias yang menang tanpa salib dan mahu kemuliaan tanpa penderitaan. Tetapi Jalan Tuhan bukan begitu. Yesus menunjukkan bahawa jalan menuju kebangkitan adalah melalui salib, dan berkata kepada murid-Nya, ‘Jika seseorang hendak mengikut-Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku’. Inilah salah satu ajaran Yesus yang paling mencabar. Menjadi Kristian bukan sekadar mengatakan bahawa kita percaya kepada Yesus tetapi mengikuti Dia. Bererti, bersedia meninggalkan keegoan, mengampuni, melayani, berkorban dan tetap setia walaupun menghadapi kesukaran.
Memikul salib tidak semestinya bermaksud mencari penderitaan. Salib kita mungkin berupa kesabaran menhadapi seseorang yang sukar, mengampuni seseorang yang telah menyakiti kita, menjaga ahli keluarga yang sakit, melayani walaupun tidak dihargai; mungkin tetap jujur ketika lebih mudah untuk berbohong; tetap berdoa – kita merasa Tuhan diam. Inilah sebahagian salib kehidupan kita. Dan Yesus berkata, ‘Pikul salibmu seorang diri… Ikutlah Aku’.
Dalam pembacaan kedua pula, St. Paul memberikan satu lagi nasihat yang sangat penting, ‘Persembahkanlah tubuhmu sebagai persembahan yang hidup, yang kudus dan berkenan kepada Allah’. Bermaksud, kehidupan kita sendiri boleh menjadi persembahan kepada Tuhan, bukan hanya ketika kita berada di Gereja, bukan ketika kita berdoa, tetapi setiap hari – dirumah, di tempat kita bekerja, di sekolah, dalam keluarga dan dalam komuniti. Cara kita bercakap, melayani, mengampuni, dan menggunakan masa dan kemampuan semuanya boleh menjadi persembahan kepada Tuhan.
St. Paul juga berkata, ‘Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu’. Menjadi murid Yesus memerlukan perubahan hati. Persoalannya: Adakah saya benar-benar mengikuti Yesus, atau saya hanya mahu Yesus mengikuti kehendak saya? Adakah saya mahu berkat Tuhan tetapi tidak mahu memikul salib? Adakah saya mahu kebangkitan tetapi tidak mahu melalui pengorbanan. Kadang-kadang kita seperti Peter: Kita mahu Yesus mengubah keadaan kita, tetapi kita tidak mahu membiarkan Yesus mengubah hati kita.
Hari ini Yesus panggil kita kembali. Dia tidak mahu menjanjikan kehidupan tanpa masalah, tetapi Dia menjanjikan kehadiran-Nya dan berkata, “Ikulah Aku”. Maka apabila kita menghadapi kesulitan, jangan terus bertanya, ‘mengapa Tuhan membiarkan ini berlaku kepada saya?’ Sebaliknya kita harus bertanya, ‘Tuhan, bagaimana saya boleh tetap mengikuti-Mu dalam keadaan ini?’. Inilah iman seorang murid Kristus.
Semoga kita mempunyai keberanian seperti Jeremiah untuk tetap mewartakan kebenaran, hati yang diperbaharui seperti yang diajarkan oleh Paul, dan iman untuk mengikuti Yesus walaupun jalan kita melalui salib. Kerana Yesus memberikan satu janji yang sangat besar. ‘Sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati’. Jalan salib bukan menuju kekalahan tetapi menuju kehidupan. Marilah kita menyerahkan hidup kita kepada Yesus dan berkata, ‘Tuhan Yesus, ajarlah saya bukan hanya mencari berkat-Mu, tetapi juga setia mengikuti-Mu. Apabila salib datang, berilah saya kekuatan utk memikul bersama-Mu.
Oleh:
Jimmy @ James Totu,
St. Michael Parish Penampang.