
Hari Minggu Biasa Ke Tiga Puluh Tiga Tahun A
Pembacaan Pertama : Kitab Amsal 31:10-13. 19-20. 30-31
Pembacaan kedua :1 Tesalonika 5: 1-6
Injil : Matius 25 : 14 – 30
Saudara – saudari saya di dalam Kristus, pembacaan pada hari mengingatkan kita bahawa setiap diri kita telah diberikan talenta serta anugerah dari Tuhan. Yesus memanggil kita supaya tidak menyembunyikan atau mensia-siakan talenta tersebut, tetapi menggunakanya dengan penuh kesetiaan dan tanggungjawab.
Dalam Injil hari ini, Yesus menyampaikan perumpamaan tentang seorang tuan yang hendak pergi ke luar negeri. Sebelum ia berangkat, dia memanggil 3 orang hambanya dan mempercayakan hartanya kepada mereka. Seorang menerima 5 talenta, seorang lagi menerima 2 talenta, dan seorang lagi menerima satu talenta. Dua orang hamba yang masing – masing menerima 5 dan 2 talenta telah meniagakan harta itu dan masing-masing mendapat untung dua kali ganda. Tetapi hamba yang mendapat 1 talenta pergi menggali lubang dan menyembunyikan wang tuannya dalam tanah. Setelah tuan itu kembali, dia memanggil kesemua hambanya untuk bertanyakan tentang harta yang diberikanya kepada mereka. Dua orang hamba yang menggandakan talenta mereka dipuji kerana menggandakan talenta mereka, manakala hamba yang menyembunyikan talentanya ditegur kerana tidak mengunakan apa yang dipercayakan kepadanya.
Melalui perumpamaan ini, Yesus mengajar kita bahawa setiap orang menerima anugerah dari Tuhan. Namun berapa jumlah yang diberikan kepada kita, tidaklah begitu mustahak, yang penting adalah bagaimana kita menggunakan apa yang diberikan kepada kita. Ada masanya kita cenderung untuk membeza- bezakan diri kita dengan orang lain. Kita beranggapan bahawa orang lain berkedudukan lebih istimewa. Tetapi, Tuhan tidak meminta kita untuk menjadi seperti orang lain. Dia hanya meminta kita menggunakan apa yang diberikanNya kepada kita dengan setia dan bertanggung-jawab.
Mungkin ada orang yang diberikan kepakaran dalam mengajar, mungkin ada yang pandai menyanyi, memimpin doa, mengurus segala kerja, membantu orang miskin. Mungkin ada juga orang yang kurang berkemampuan, tetapi hatinya penuh dengan rasa kasihan dan sentiasa bersedia untuk membantu. Semuanya ini adalah talenta yang amat berharga di mata Tuhan, sepertimana halnya yang kita dengar dalam pembacaan pertama yang dipetik dari Kitab Amsal, seorang perempuan dipuji kerana rajin, bijaksana serta takut akan Tuhan. Dia memelihara keluarganya dan membantu orang miskin. Pembacaan ini mengingatkan kita bahawa kebaikan seseorang bukanya dilihat di segi kecantikan, yang boleh dilihat secara luaran, tetapi dari kebaikan dan
kesetiannya kepada Tuhan. Ada kalanya, ada segelintir di kalangan kita dimana kita tahu seseorang itu amat memerlukan pertolongan, tetapi kita berpura – pura tidak tahu, kita berasa sombong dan tahap ego kita mungkin juga agak tinggi. Dengan perangai kita yang sedemikian, agak sukar untuk kita menjadi contoh yang baik kepada sesama kita. Semoga kita menjadi seakan-akan dengan perempuan itu di dalam pembacaan pertama sebentar tadi.
Saudara – saudari, Yesus juga memanggil kita supaya berjaga-jaga serta menggunakan masa yang diberikanNya kepada kita dengan sebaik mungkin, kita seharusya berbuat perkara-perkara yang baik dan terus bertumbuh dalam iman dan bukanya menyembunyikanya, kita harus menghidupi talenta yang diberikan kepada kita, agar pada masa kedatanganNya, kita sesuai dengan pemerintahan di Surga, sepertimana Sangto Paulus mengingatkan umat di Tesalonika dalam pembacaan kedua, dia menyuruh mereka agar sentiasa berjaga-jaga dan hidup seperti anak – anak Tuhan, sebab kedatangan Tuhan itu kita tidak dapat jangkakan.
Saudara – saudari, perumpamaan tentang talenta ini juga memberi peringatan kepada kita yang melayani di ladang Tuhan. Mungkin ada di kalangan kita yang diberi tugas untuk menyampaikan firmanNya dan membawa orang lain untuk mengenal Yesus. Mungkin kepakaran dan kepandaian seseorang tidak juga sama, ada yang bijaksana, ada yang petah dalam berkata-kata dan mungkin ada diantara kita yang baru belajar. Tetapi janganlah kita takut, Tuhan tidak juga meminta kita untuk menjadi sempurna sepenuhnya. Dia hanya meminta kita untuk melayani dengan ikhlas. Janganlah kita sembunyikan talenta yang diberikan kepada kita hanya kerana kita rasa takut tersilap. Janganlah kita biarkan perasaan malas, kurang iman ataupun perangai kita yang suka membeza-bezakan dengan orang lain, menghalang kita untuk melayani. Walaupun mungkin pelayanan kita kelihatan kecil sahaja tetapi ianya amat berharga di mata Tuhan.
Hari ini, kita tanya diri kita sendiri, apakah jenis talenta yang diberikan Tuhan kepada kita? Adakah kita telah menggunakan talenta tersebut untuk membantu sesama kita? Atau, adakah kita menyembunyikan talenta itu disebabkan kita berasa takut, atau kita malas dan kurangnya iman kita? Kita harus ingat bahawa pada satu hari nanti, kita akan berhadapan dengan Tuhan dan Dia akan bertanya kepada kita bagaimana kita telah menghidupi talenta yang di percayakanNya kepada kita?
Tuhan memberkati.
Albert Mining
Paroki Penampang