
Mosaic tiles depicting the Most Holy Trinity are seen in the Trinity Dome at the Basilica of the National Shrine of the Immaculate Conception in Washington. (OSV News file photo/Tyler Orsburn)
Renungan Mingguan
Hari Raya Tritunggal Mahakudus Tahun A.
Pembacaan Pertama : Kitab Keluaran 34: 4-6. 8-9
Pembacaan kedua : Surat kedua Rasul Paulus kepada Jemaat di Korintus 13:11-13
Pembacaan Injil : Yohannes 3: 16-18
Shallom saudara – saudari saya yang terkasih, minggu ini kita merayakan Hari Raya Tritunggal Mahakudus, iaitu Allah Bapa, Putera dan Roh Kudus, dan tema doa kita pada hari ini adalah, ” Tuhan Allah pengasih dan perdamaian.”
Dalam ketiga-tiga pembacaan pada hari ini, ianya menceritakan mengenai Tritunggal Mahakudus. Walaupun amat sulit bagi kita sebagai manusia biasa untuk memahami akan erti Tritunggal Mahakudus ini disebabkan ianya adalah suatu misteri, namun kita boleh memahaminya sedikit sebanyak tentang ini dimana ianya boleh diertikan seperti satu segi tiga yang mempunyai 3 sudut, walaumacamana kita memusingkan segi tiga tersebut, bentuknya tetap sama. Dan kebiasaanya sebelum kita makan, kita akan berdoa dengan membuat tanda salib “Demi nama Bapa, Putera dan Roh Kudus.” Ini memberitahu kepada kita bahawa Tritunggal Mahakudus itu wujud dalam iman kita, tetapi kadangkala kita tidak berapa pasti dari mana datangnya Roh Kudus itu. Kita juga boleh merenung dan memikirkan perkara ini seperti yang kita dengar dari peristiwa Annunciation, dimana Tuhan Allah telah menyuruh malaikat Gabriel untuk menemui Bonda Maria, kemudian Roh Kudus telah memenuhi Bonda Maria dan lahirlah Tuhan Yesus. Dan kejadian semasa permandian Yesus di sungai Yordan, pada masa itu, Surga telah terbuka dan terdengarlah suara Tuhan Allah dan Roh Kudus dalam bentuk burung merpati telah turun dan itulah kesaksian bahawa Tritunggal Mahakudus itu wujud dengan Yesus berkata kepada murid-muridNya, mengutus mereka dengan berkata, “Pergilah dan mandikan semua orang dengan berkata Atas nama Bapa, Putera, dan Roh Kudus.” Dan dalam semua pembacaan pada hari ini, kita dipanggil agar hati kita sentiasa bersedia untuk memperlihatkan kasih dan damai kepada sesama kita sesuai dengan tema pada hari ini, “Tuhan Allah Pengasih dan perdamaian.”
Dan, bercakap tentang kasih ini, ianya kita dapat lihat dalam pembacaan pertama yang dipetik dari Buku Keluaran. Semasa Musa di Gunung Senai, ia terdengar suatu suara yang memberi petunjuk bagaimana sebenarnya perwatakan Tuhan Allah. Allah telah menampakkan diriNya bukan dalam suasana yang menakutkan, Tuhan tidak menampakkan diri dalam rupa api yang bernyala-nyala tetapi Dia menampakkan diriNya dalam suasana yang penuh dengan kasih. Seterusnya kedengaran suara berkata, “Tuhan adalah Allah yang penyayang dan pengasih, panjang sabar dan berlimpah kasih setiaNya.” Ini memperlihatkan bahawa Tuhan Allah sentiasa berusaha untuk mencari persekutuan, menawarkan pengampunan dan cinta kasihNya berlimpah. Sifat sedemikian, harus kita contohi untuk kita praktikkan dalam keluarga kita, dalam komuniti kita dan kepada jiran tetangga kita. Tetapi apa yang selalunya berlaku? Ada segelintir dari kita ini yang tidak menghiraukan yang miskin, yang tidak mempunyai makanan yang cukup dan juga kepada anak-anak yatim.
Dan dalam pembacaan Injil menurut Yohannes, dikatakan disini, “Begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan PuteraNya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya tidak akan binasa, melainkan memperolehi kehidupan kekal.” Inilah rangkap kata-kata yang bererti sumber dan jantung akan Injil Kristus. Kita dapat lihat disini bahawa cinta kasih Allah adalah tanpa batas, menurunkan AnakNya yang tunggal Yesus Kristus, bukan untuk menghukum tetapi untuk menyelamatkan dunia. Penganugerahan Tuhan Allah ini, memperlihatkan rasa kasihan dan akan cinta kasihNya yang sejati kepada umat manusia. Tuhan Yesuslah yang telah terbit dari rasa cinta kasih Allah, yang membawa perdamaian melalui pengampunan dosa serta Dia menjanjikan kehidupan kekal kepada kita.
Sebab itulah, Rasul Paulus mendorong kita seperti mana dia mendorong umat di Korintus dalam pembacaan kedua, agar mereka hidup dalam persatuan dan perdamaian. Mereka didorong agar terus berusaha mencari kegenapan, menasihati antara satu dengan yang lain, bersatu hati, hidup dalam perdamaian agar cinta kasih dan perdamaian Tuhan Allah sentiasa bersama dengan mereka, dan kita pun didorong agar berlaku sedemikian saudara-saudari. Kita dijadikan oleh Tuhan mengikut wajah Tritunggal Mahakudus ini, oleh itu kita dipanggil untuk menjadi penyampai cinta kasih dan perdamaian ini kepada sesama kita. Di masa keadaan dunia pada sekarang ini yang penuh dengan kekacauan, tidak bersefahaman dan lapar akan cinta kasih yang sejati, maka itulah, dorongan Rasul Paulus ini tersangat penting bagi kita. Marilah bersama-sama menjadi alat cinta kasih dan perdamaian ini dengan kita memperlihatkan cinta kasih, memberi pengampunan kepada sesama dan membina semula jambatan yang menyatukan kita dengan Tuhan Allah.
Semoga pada hari ini kita dapat merenungkan betapa indah dan dalamnya cinta kasih Tritunggal Mahakudus yang tidak pernah putus mengalir kepada kita. Semoga cinta kasih Tuhan Yesus dan juga cinta kasih Allah dan Roh Kudus sentiasa bersama kita, menopang kita untuk hidup sebagai anak Allah yang pengasih dan perdamaian.
Amen.
Kat. Albert Mining Paroki Penampang