
Hari Minggu Biasa Ke-25 Tahun A (Kasih Tuhan Yang Melimpah)
Saudara dan saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Pernahkah kita berkata dalam hati : “Kenapa dia dapat lebih daripada saya?” “Saya sudah lama berusaha, kenapa dia baru datang tetapi dapat juga?” Kalau pernah, jangan risau, kita manusia memang begitu. Kita mudah membandingkan. Kita bandingkan gaji. Kita bandingkan rumah. Kita bandingkan anak-anak. Kita bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Kadang-kadang sampai berkat orang lain pun boleh membuat kita tidak bersyukur.
Hari ini Yesus mahu mengajar kita satu perkara: Kasih Tuhan bukan seperti kira-kira manusia. Dalam Injil, Yesus cerita tentang pekerja di ladang anggur. Ada yang datang pagi-pagi. Ada yang datang pukul sembilan. Ada yang tengah hari. Ada yang baru datang petang. Bila sampai masa menerima upah, semua mendapat satu dinar. Yang bekerja dari pagi mula merungut: “Kami sudah bekerja sepanjang hari, panas lagi, kenapa orang yang baru bekerja sekejap pun dapat sama?”
Kalau kita ada di sana, mungkin kita pun cakap: “Betul juga!” Tetapi Yesus mahu kita lihat perkara ini dari sudut yang lain. Tuhan bukan sedang mengajar tentang kira-kira gaji. Tuhan sedang mengajar tentang kasih dan kemurahan hati-Nya. Tuhan mahu kita faham: Bila Tuhan memberkati orang lain, itu tidak bermaksud berkat kita berkurang. Ini yang kadang-kadang susah kita terima.
Contohnya dalam keluarga. Seorang anak sudah lama tinggal bersama ibu bapa, membantu keluarga, menjaga mereka. Kemudian seorang lagi anak yang sudah lama jauh tiba-tiba balik. Ibu bapa sangat gembira. Dipeluk, disambut, diberi makan. Anak yang selama ini tinggal di rumah mungkin terasa: “Saya yang selama ini menjaga keluarga. Kenapa dia yang baru balik pun disambut macam itu?” Tetapi ibu mungkin berkata: “Kasih Mama kepada kamu tidak berkurang hanya kerana Mama mengasihi adik kamu.”
Begitulah hati Tuhan. Bila seorang yang berdosa kembali kepada Tuhan, Tuhan tidak berkata: “Kenapa baru sekarang?” Tuhan berkata: “Selamat datang kembali, anak-Ku.” Bila seseorang yang sudah lama meninggalkan Gereja datang semula, jangan kita berkata: “Baru sekarang mau datang gereja?” Sebaliknya kita berkata: “Syukur, kau sudah kembali.”
Saudara dan saudari, Kadang-kadang kita yang sudah lama melayani Tuhan pun boleh terperangkap dalam perkara ini. Kita sudah lama menjadi katekis, EMC, Sudah lama membantu liturgi. Sudah lama bekerja untuk Gereja. Sudah banyak berkorban. Semua itu baik. Tetapi jangan sampai dalam hati kita berkata: “Saya sudah banyak buat untuk Tuhan, jadi Tuhan mesti bagi saya lebih.” Tetapi sebenarnya Tuhan tidak pernah berhutang kepada kita. Apa yang kita ada semuanya datang daripada Tuhan.
Masa kita — Tuhan punya. Bakat kita — Tuhan punya. Kesihatan kita — Tuhan punya. Keluarga kita — Tuhan punya. Bahkan kesempatan kita untuk melayani pun hadiah daripada Tuhan.
Sebab itu Rasul Paulus menunjukkan kepada kita satu hati yang menyerahkan seluruh hidup kepada Tuhan. Bagi Paulus, hidup atau mati, semuanya untuk Kristus. Maksudnya, jangan selalu tanya: “Apa yang saya dapat?” Tetapi belajar bertanya: “Apa yang saya boleh berikan?”
Saudara dan saudari, Hari ini kita juga hidup dalam zaman yang mudah membuat kita membandingkan diri. Buka Facebook… nampak orang beli kereta baru. Buka WhatsApp… nampak orang pergi bercuti. Nampak anak orang berjaya. Nampak rumah orang cantik. Nampak orang lain dapat penghargaan. Kita pun mula berkata: “Kenapa hidup dia macam tu… hidup saya macam ini?”
Akhirnya kita lupa melihat apa yang Tuhan sudah berikan kepada kita. Sebab itu hari ini Tuhan mengajar kita tiga perkara.
Pertama, jangan iri hati terhadap berkat orang lain. Kalau orang lain berjaya, bersyukurlah bersama dia.
Kedua, belajar bersyukur. Apa yang kita ada hari ini bukan semuanya kerana usaha kita sendiri. Ada rahmat Tuhan di dalamnya.
Ketiga, jadilah orang yang pemurah. Kalau ada orang susah, bantu setakat yang kita mampu. Kalau ada orang sedih, berikan kata-kata semangat. Kalau ada perselisihan, jangan tunggu orang lain mula dulu. Kadang-kadang kita yang perlu berkata: “Sudahlah… mari kita berdamai.” Kalau ada orang pernah jatuh dalam dosa tetapi mahu berubah, jangan kita ungkit lagi masa lalunya. Berikan dia peluang.
Saudara dan saudari, Mungkin ada antara kita yang berkata: “Saya sudah terlalu jauh daripada Tuhan.” Tidak. Selagi kita masih hidup, rahmat Tuhan masih terbuka. Mungkin ada yang datang kepada Tuhan sejak pagi kehidupan. Ada yang datang waktu tengah hari. Ada yang baru datang pada waktu petang kehidupan. Tetapi Tuhan tetap berkata: “Datanglah. Aku masih menunggumu.” Itulah kasih Tuhan yang melimpah. Dan kerana kita sudah menerima kasih Tuhan yang begitu besar, marilah kita belajar melakukan perkara yang sama:
Jangan kedekut kasih. Jangan kedekut pengampunan. Jangan kedekut pertolongan. Jangan kedekut memberi peluang kedua. Akhirnya, bukan berapa banyak yang kita kumpul yang paling penting. Tetapi berapa banyak kasih yang kita sudah kongsikan. Semoga kita pulang hari ini dengan satu doa:
“Tuhan, ajarlah saya supaya tidak iri hati terhadap berkat orang lain. Ajarlah saya bersyukur atas apa yang saya ada. Dan jadikan hati saya seperti hati-Mu — hati yang murah hati, suka mengampuni dan suka memberi peluang kepada orang lain.” Kerana kasih Tuhan tidak pernah habis, rahmat-Nya tidak pernah terlambat, dan pintu hati-Nya sentiasa terbuka. Tuhan memberkati kita semua, Amen.
Kat. Larry Joy Linus Tokuzip