Sesiapa yang pernah ke Kota Suci Jerusalem pasti sekali akan teringat bahawa Rumah Ibadat Jerusalem bukanlah seperti yang digambarkan dalam Kitab Suci. Rumah Ibadat itu kini hanyalah saki baki peninggalan tetapi bukan dari Rumah Ibadat Jerusalem yang asal.
Rumah Ibadat Jerusalem yang pertama siap dibina dalam tahun 960 sebelum Masihi (B.C) semasa Solomon memerintah Israel dan musnah pada tahun 587 sebelum Masihi (B.C) apabila kerajaan Babylon menyerang Israel. Rumah Ibadat yang Kedua dibina kembali oleh Zerubbabel iaitu pemerintah suku Judah pada masa itu sekitar tahun 515 sebelum Masihi (B.C). Bagaimanapun, pembinaannya tidak sebaik Rumah Ibadat asal dan jauh ketinggalan dari aspek keindahan dan keceriaan kalau dibandingkan dengan Rumah Ibadat yang pertama.
Apabila Herod the Great diamanahkan sebagai pemerintah Palestine dia menawarkan untuk membantu mengindahkan dan membesarkan Rumah Ibadat Kedua itu. Oleh sebab itu merupakan kali ketiga pembinaan Rumah Ibadat di Kota Jerusalem ianya telah dikenali sebagai Rumah Ibadat Jerusalem yang Ketiga. Semasa zaman Tuhan Yesus, Rumah Ibadat itu masih dalam proses pembinaan dan hanya siap pada tahun 64 selepas Masihi (A.D). Malangnya Rumah Ibadat dimusnahkan dalam peperangan Roma iaitu pada tahun 70 A.D. Rumah Ibadat inilah yang kita dengar dari Kitab Injil untuk Hari Minggu Biasa ke-32.
Kita diberi tahu bahawa di dalam Rumah Ibadat itu ada peti persembahan sama seperti setiap gereja sekarang ini yang oleh sebab pandemik meletakkan Collection Boxes di depan pintu masuk gereja. Tetapi peti persembahan ini lebih banyak, terdapat 9 peti persembahan yang berbentuk trumpet. Tuhan Yesus memberitahu kita dalam Kitab Injil bahawa ramai orang-orang kaya memberikan persembahan wang dengan nilai yang besar. Tetapi apa yang menjengkelkan Tuhan Yesus ialah tabiat orang-orang kaya yang memberi persembahan itu. Mereka akan memastikan orang lain yang berada dalam Rumah Ibadat itu melihat jumlah wang yang mereka masukan dalam peti persembahan itu. Mereka mahu kalau boleh semua orang tahu bahawa mereka telah “menyumbang” untuk rumah ibadat.
Itulah sebabnya, apabila seorang wanita yang telah kematian suami datang dan memasukan dalam peti persembahan Rumah Ibadat 2 keping duit kecil, Tuhan Yesus memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa apa yang telah diberikan itu jauh lebih besar dari pemberian orang-orang kaya yang ada di situ. Mengapa? Sebab, wanita itu memberikan dari “kekurangan”nya manakala orang-orang kaya itu memberi dari “kelebihan” mereka. Wanita itu boleh sahaja menyimpan untuk dirinya 1 keping duit kecil dan memberikan yang 1 keping lagi itu sebagai persembahannya. Tetapi wanita itu tidak berbuat demikian. Dia memberikan “semua” yang dia miliki untuk Tuhan.
Di dalam pewartaan pertama hari ini, seorang wanita yang telah kematian suami juga melakukan hal yang sama untuk Nabi Elijah. Wanita itu memberikan makanan dan minuman yang tinggal sedikit dan juga “stock” terakhir makanan di dapurnya kepada Nabi Elijah yang keletihan dan kelaparan. Wanita itu sanggup menangung akibat harus berlapar dengan anak tunggalnya setelah memberikan “semua” makanan yang dipunyainya kepada Nabi Elijah. Bukan itu saja, wanita itu tidak memberikan apa-apa syarat kepada Nabi Elijah. Oleh sebab itulah, Tuhan memperkenankan berkatnya atas wanita itu dan anaknya. Semenjak hari itu, makanan tidak lagi berkurangan dari dapur wanita itu.
Jelas sekali bahawa Tuhan mendambakan hal yang sama dari kita semua sebagai pengikut-pengikutnya. Tuhan mahu kita bermurah hati dengan persembahan kita kepada Dia sama ada dalam bentuk wang, bakat-bakat, pelayanan, masa mahupun tenaga. Tuhan mahu kita berubah dari sikap kita yang hanya memberi secara minimal. Cuba kita fikirkan , umat di Paroki Penampang adalah lebih kurang 16 ribu orang tetapi kenapa setiap minggu pungutan pertama gereja hanya dalam julat RM 7,000 hingga RM9,000 seminggu? Kalau kita lihat dari aspek pengelibatan dalam aktiviti gereja juga, rata-rata orang yang sama melakukan kerja-kerja pastoral dan hal-hal bersangkutan pembangunan gereja. Ini adalah satu yang kita harus fikirkan dan buat perubahan. Inilah juga tujuan “Synodal Process” yang telah dilancarkan baru-baru ini di peringkat Gereja Sejagat, Keuskupan dan Paroki. Kita mahu pengelibatan secara menyeluruh. Kita mahu “penyerahan kehidupan” tanpa syarat kepada Tuhan. Melalui cara mengereja seperti inilah maka kita menghidupi “semangat” penyerahan kedua wanita yang telah kematian suami dalam Injil dan pewartaan pertama hari ini.
Mungkin ada yang tertanya-tanya; Kenapa wanita yang diilustrasikan kepada kita itu diberi penekanan (highlighted) “telah kematian suami”? Bagi wanita-wanita yang telah kematian suami lebih-lebih lagi yang anak-anak mereka masih kecil mereka akan faham. Kalau dulu tangungjawab membesarkan anak-anak adalah tangungan bersama suami kini dilakukan berseorangan. Kalau dulu wang keperluan rumahtangga dikongsikan dengan suami kini hanya sendiri menangung semua itu. Hanya wanita yang telah kehilangan suami tahu apa makna sebenar “kehilangan”, “penderitaan”, “kesedihan” dan “pengharapan sepenuhnya pada Tuhan”. Dalam lain kata, wanita yang telah kehilangan suami itu hanya ada satu tempat untuk “penghiburan” dan “pengharapan” — hanya dengan Tuhan. Itulah sikap yang kita harus hidupi sebagai orang Kristian — meletakkan pengharapan 100% kepada Tuhan.
Tetapi kalau kita sekadar melihat kedua wanita tadi dalam konteks “mereka seadanya” tanpa melihat apa yang telah dilakukan oleh Yesus Kristus, kita GAGAL sebagai orang Kristian. Kedua wanita tadi adalah “penunjuk” (pointer) kepada Tuhan Yesus yang telah memberikan “segala miliknya” demi umat manusia. Dia lahir dalam kedaifan dunia walaupun Dia adalah Tuhan. Dia mati di kayu salib atas kedosaan umat manusia dalam kesengsaraan, diperbodoh-bodohkan dan dipermalukan seperti yang dinyatakan dalam pewartaan kedua untuk Hari Minggu ke-32 ini; semuanya kerana Dia sungguh mengasihi umat manusia. Jadi sebagai pengikut-pengikutnya kita semua dipanggil untuk menuruti jalan kehidupan Tuhan Yesus dalam pelayanan dan pemberian dalam banyak cara (tidak semestinya wang) kepada sesama kita manusia.
Mari kita muliakan Tuhan kerana FirmanNya ini dan berdoa agar kita terus disegarkan di dalam iman dan pengharapan kita pada Dia.
Fr. Wilfred Atin