
Renungan Minggu Paskah Ke-6, Tahun A 10 Mei 2026
Shalom,
Beritakanlah khabar sukacita supaya seluruh umat di bumi mendengar bahawa Tuhan telah menebus umat-Nya Alleluia!
“Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” Ini adalah satu kenyataan yang mencabar. Yesus tidak berkata, “Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan merasa sesuatu,” atau “kamu akan berkata sesuatu.” Tetapi Dia berkata, kamu akan menuruti. Ertinya, kasih kepada Yesus bukan sekadar perasaan tetapi ia adalah nyata dalam tindakan.
Sering kali kita mengatakan kita mengasihi Tuhan, tetapi dalam kehidupan harian, kita masih memilih jalan sendiri. Kita mudah mengasihi apabila keadaan baik, tetapi apabila berhadapan dengan cabaran, kita mula ragu dan menjauh.
Namun Yesus tidak meninggalkan kita sendirian. Dia berjanji akan mengutus Penolong, iaitu Roh Kudus. Roh inilah yang menguatkan kita untuk tetap setia dalam kehidupan kita seharian walaupun tidak mudah. Roh Kudus membantu kita untuk hidup dalam kebenaran dan kasih. Roh Kudus bekerja dalam Gereja awal. Melalui pelayanan Filipus di Samaria, ramai orang mengalami sukacita dan pembaharuan hidup. Tetapi yang menariknya, para rasul datang untuk meletakkan tangan supaya mereka menerima Roh Kudus.Saudara saudari,Iman kita bukan hanya tentang percaya secara peribadi, tetapi juga tentang kesatuan dalam Gereja dan keterbukaan kepada karya Roh Kudus,kita seharusnya sentiasa siap sedia memberi alasan tentang harapan yang ada dalam kita dengan lemah lembut dan hormat. Dunia hari ini sangat memerlukan saksi iman yang bukan hanya pandai berkata-kata, tetapi hidupnya mencerminkan Kristus.
Saudara-saudari,
Kasih kepada Yesus harus kelihatan dalam cara kita hidup: dalam kesabaran terhadap orang lain dalam kejujuran walaupun sukar
dalam pengampunan walaupun hati terluka Dan semua ini hanya mungkin apabila kita membuka hati kepada Roh Kudus.
Yesus juga berkata: “Aku tidak akan meninggalkan kamu sebagai yatim piatu.” Ini adalah janji yang penuh penghiburan. Dalam setiap kesulitan, dalam setiap kelemahan, kita tidak pernah sendirian. Tuhan hadir — melalui Roh-Nya — membimbing, menguatkan, dan menyertai kita.
Maka hari ini, kita diundang untuk bertanya kepada diri kita: Adakah kasih saya kepada Yesus nyata dalam hidup saya?
Adakah saya membuka hati kepada bimbingan Roh Kudus?
Semoga kita belajar untuk mengasihi bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan hidup kita — supaya melalui kita, orang lain dapat melihat Kristus yang hidup.
Amin.
Katigis Silverius Silvester