
Tarikh :13 09. 2026
Pembacaan Pertama: Kitab Putra Sirakh 27:30-28.7
Pembacaan Kedua: Surat Rasul Paulus kpd Jemaat di Roma 14:7-9
Gospel: Matius 18: 21-35
Saudara-saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Ketiga-tiga bacaan hari ini membawa kita kepada satu perkara yang sangat penting iaitu tentang pengampunan.Minggu yang lalu Yesus mengatakan tentang Kasih…Dia mahu kita mengasihi sesama sendiri sebagaimana Dia mengasihi kita. Dan Minggu ini pula Yesus bercakap tentang Pengampunan.…
Pengampunan dan Kasih ini adalah dua perkataan yang merujuk kepada perbuatan yang sungguh murni. Pengampunan dan kasih ini sentiasa berjalan bersama. Kedua-duanya saling melengkapi dan menguatkan satu sama lain, kerana tanpa kasih, pengampunan menjadi sukar; dan tanpa pengampunan, kasih tidak dapat mencapai kesempurnaannya. Apabila kasih dan pengampunan hidup bersama dalam diri kita, barulah tujuan Kristus untuk membawa damai dapat memulihkan hubungan dan menyatukan hati dapat direalisasikan dalam kehidupan kita.
Namun Saudara dan Saudari….Dalam kehidupan kita yang semakin moden dan serba pantas ini, tanpa kita sedari, kita semakin mudah melupakan dua perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai orang yang beriman ia itu kasih dan pengampunan. Kita begitu sibuk mengejar masa, pekerjaan, kejayaan dan pelbagai keperluan hidup, sehingga kadang-kadang kita tidak mempunyai masa untuk mendengar, memahami dan memaafkan satu sama lain.
Kita cepat sangat mengingati kesalahan orang, tetapi lambat mengingati kebaikan mereka. Kita mudah menyimpan kata-kata yang menyakitkan hati, tetapi kita lupa bahawa setiap hari kita juga hidup bersandarkan belas kasihan dan pengampunan dari Tuhan. Itulah sebab dalam Bacaan pertama pada hari ini, ianya mahu mengingatkan kita untuk tidak menyimpankan kemarahan dan dendam sebaliknya kita belajar mengampuni. Sebab kalau kita simpan kemarahan dan dendam itu semuanya hanya menjadi beban kepada hati kita sendiri dan sda tentu ianya akan membawa kita menjauhi Tuhan.. Dan bila kita mengampuni kita buatlah dengan seikhlas hati dan sepenuh hati walaupun kita mungkin akan buat pengampunan itu berulangalik. Sebab Dalam Injil hari ini kita diingatkan bahawa pengampunan itu bukan untuk dikira, tetapi untuk diamalkan.
Kadang kadang kita dengar orang berkata :Saya boleh ampuni, tetapi saya tidak boleh lupa. Memang kita mungkin tidak dapat melupakan apa yang berlaku. Tetapi kita boleh memilih untuk tidak membalas, tidak menyimpan kebencian dan menyerahkan semuanya kepada Tuhan. Apabila kita bersalah, kita meminta pengampunan daripada Tuhan dan kita juga harus buat begitu kepada orang yang telah menyakiti kita..Jangan kita ikut macam hamba yang tidak jujur seprtimana yang telah dinyatakan dalam Injil hari ini.
Dalam Bacaan ke 2 pula pada hari ini, Paulus mengingatkan kita bahawa sebagai pengikut Kristus kita adalah milik Tuhan: Dan Tuhan tidak mahu kita hidup hanya untuk kepentingan diri sendiri.Tuhan mahu kita hidup yang mencerminkan kehidupan yang berpusat kpd Kristus iaitu melayani orang lain dengan penuh kasih, kesabaran, pengampunan dan meninggalkan dendam dan kebencian.
Saudara dan saudari yang dikasihi ….
Firman Tuhan pada hari ini mahu membawa kita untuk merenungkan sedalam dalamny tentang pengampunan.Yesus mahu kita memberi pengampunan secara total dengan penuh kasih. Semoga Firman Tuhan pada hari ini tidak berhenti hanya sebagai kata kata yang kita dengar tetapi menjadi sesuatu yang kita hidupi didalam kehidupan kita seharian. Semoga kasih Kristus melalui berkat pengampunan-Nya tinggal dalam hati kita semua dan semoga pengampunan menjadi jalan yang membawa kita kembali kepada satu sama yang lain dan semakin dekat dengan Tuhan. Amen…
Kat Justin Theodore Tambud
Paroki St Augustine Kinarut