Panggilan menjadi Rasul
Tema perayaan Minggu Katikatikal yang telah kita rayakan pada minggu yang lalu (30th Jan) ialah “Kehidupan Keluarga: Jalan Kepada Kekudusan”. Sudah tentu banyak usaha yang telah kita lakukan dan hidupi untuk merasai dan mengalami hidup kekudusan. Kita menghadiri misa setiap minggu, berdoa bersama keluarga, menghidupi dan mentaati perintah-perintah Tuhan dan gereja, dan sebagainya. Namun, ada satu perkara yang kadang-kadang kita gagal untuk menghidupi, iaitu; mengasihi atau mencintai musuh-musuh kita. Siapakah musuh-musuh kita; mereka yang menolak tentang kebenaran, yang tidak percaya akan ajaran-ajaran gereja, mereka yang suka mengosip-gosip dan yang suka memburukkan nama baik kita. Pewartaan firman Tuhan minggu ini mengajak kita bagaimana untuk menjadi pengikut/rasul Yesus yang tulin.
Nabi Yesaya dalam pembacaan pertama, mengangap dirinya tidak layak untuk menjadi pelayan Tuhan. Yesaya menyedari bahawa mulutnya penuh dengan kenajisan. Namum, malaikat Tuhan menyentuh mulutnya dan menjadikan dia suci dan kudus.
Santo Paulus dalam pewartaan ke-2 juga mengakui bahawa dia tidak layak disebut rasul. Saya ini seorang penganiaya!!! Namun, Tuhan dengan cintakasihnya memanggil Paulus untuk mewartakan khabar baik.
Santo Petrus dalam pewartaan Injil tersungkur apabila melihat banyaknya ikan yang telah dia jala. Petrus mengatakan, “tinggalkan saya Tuhan, saya ini orang berdosa”.
Saudara dan saudari, Yesaya, Paulus dan Petrus mempunyai persamaan dalam menyahut panggilan Tuhan. Mereka menyedari bahawa mereka itu lemah dan berdosa dihadapan Tuhan.
Untuk menyahut panggilan dan untuk menjadi rasul Tuhan, kriteria pertama dan yang utama adalah menyedari bahawa kita ini lemah dan berdosa. Dalam erti kata lain, apabila Yesus memilih kita, Dia tidak melihat kekuatan fizikal dan mental kita tetapi kekuatan hati dan rohani kita untuk berhadapan dengan pelayanan. Yesuslah yang membuat kita layak untuk melayani.
Marilah sebagai keluarga Kristian yang besar bersyukur atas panggilan Tuhan ini, marih kita terus melayani Dia dan sesama agar Syurga kita rasai didunia ini.
Fr. Jeffri Gumu