Renungan Minggu Ke-Enam
SENTIASA BERHARAP PADA TUHAN.
Orang yang sentiasa mengandalkan atau berharap pada Tuhan akan berbahagia, kerana ia bagaikan pohon yang tumbuh di tepi air, sehingga tidak akan berhenti berbuah.
Secara nyata, orang yang mengharapkan pada Tuhan ialah orang yang mengimani kebangkitan Kristus, yang memberikan harapan akan penghapusan dosa.
Melalui khutbah-Nya di bukit, Yesus telah mengistiharkan kebahagian yang sejati, namun ianya sangat bertentangan dengan ukuran duniawi. Kata-Nya ‘Berbahagialah kamu yang dihina dan yang lapar’. ’Kemudian Dia berkata lagi, ‘Tetapi celakalah kamu yang kaya sekarang ini…sebab kamu akan kelaparan’. Ajaran Yesus ini sangat bertentangan dengan kebijaksanaan duniawi. Paulus sendiri mengakui pertentangan ini apabila dia berkata: ‘Sebab apa yang dianggap bijaksana oleh dunia adalah bodoh pada pandangan Allah’. ( 1Kor. 3-19 )
Satu lagi sikap manusia yang tertutup pada campur tangan Tuhan dalam hidupnya adalah sikap yang merasa serba cukup dalam segala hal. Tidak lagi memerlukan pertolongan Tuhan.
Ada juga orang yang terlalu menaruh kepercayaan sepenuhnya pada kebendaan yang dimilikinya, ia tidak merasa perlu akan pertolongan Tuhan, dengan kata lain, dia merasa puas dan tidak memerlukan lagi cinta kasih, pengampunan serta melaksanakan kehendak Allah.
Namun kenyataannya, betapa pun seseorang itu kaya, hatinya tetap mengalami kekosongan kerana jauh di dalam lubuk hatinya, tetap ada kerinduan akan Tuhan yang maha pengasih dan pemurah itu.
Apabila tiba masanya, seseorang itu akan mulai sedar bahawa segala harta miliknya tidak mempunyai makna lagi bagi hidupnya, maka bermula pada masa itulah dia akan meletakkan segala harapan dan hidupnya hanya kepada Tuhan. Dia akan sedar segala kelemahannya dan akan melepaskan dirinya daripada terikat kepada nilai-nilai atau benda-benda yang hanya bersifat sementara itu. Dengan demikian dia akan semakin terikat pada Tuhan, dia akan sedar bahawa hanya Tuhan yang boleh memberikannya hidup dan kegembiraan yang sejati.
Kegembiraan Kristian Katolik yang berpusat pada Kristus boleh bertahan walau apa pun yang terjadi. Dengan kata lain, kegembiraan yang tidak boleh dihapuskan oleh sesuatu kerana ia datang dari Allah sendiri.
Maka, apa masalah sekalipun kita hadapi perlu kita lihat dan sedari sebagai suatu kemuliaan sebab Kristus pernah berjanji, ‘ Tidak seorang pun dapat mengambil kegembiraan itu dari hatimu’. (Yoh. 16:22 )
Kat. Linus Tokuzip