HARI MINGGU PALMA TAHUN A, B, C – 2022
Setelah empat minggu dalam musim prapaska dengan mengamalkan ibadah berpuasa, berdoa dan beramal, kini kita sedia memasuki minggu suci iaitu kesengsaraan Yesus dan kematianNya di salib dengan perayaan Minggu Palma.
Perayaan Minggu Palma selalu menimbulkan banyak persoalan, kerana kita awali dengan perarakan meriah Yesus masuk ke Yerusalem tetapi kemudian kita dihadapkan pada kisah sedih sengsara dan kematian Yesus di kayu salib. Namun, kebangkitan Yesus pada hari ketiga selepas kematianNya telah memberi kita bukti betapa besarnya kasih Allah Bapa kepada manusia dengan memberikan Yesus sebagai tebusan dosa kita untuk memenuhi rencana penyelamatan yang dinubuatkan dalam Alkitab.
Yesus memasuki Yerusalem dengan menaiki keladai yang menjadi simbol damai. Maksudnya, Tuhan telah merendahkan diriNya dengan menjadi manusia dalam peribadi Yesus yang mati disalib untuk memulihkan hubungan Allah dengan manusia – mendamai manusia dengan Allah agar manusia mampu kembali ke tempat asalnya iaitu beroleh kehidupan kekal bersama Allah Bapa di Surga. Sudikah anda menerima Yesus dan menobatkanNya sebagai Raja yang akan mendamaikan kita dengan Allah? Dengan melambai-lambai daun palma kita mengakui bahawa Yesus akan membawa kemenangan dalam hidup kita melawan kuasa kegelapan yang digenapiNya di kayu salib. Dengan menghamparkan daun palma, pakaian dan ranting-ranting di jalanan yang dilalui Yesus, kita mengakui bahawa Dialah Messiah yang akan menyelamatkan kita dari kehidupan duniawi sambil bersorak-sorai “Terpujilah Raja yang datang atas nama Tuhan. Damai di surga, kemuliaan bagi Yang Mahatinggi”. Dengan menerima Yesus sebagai Raja Dia akan membawa kemenangan dan pembebasan bagi setiap orang yang percaya padaNya. Dia masuk ke Kota Yerusalem untuk memenuhi rencana penyelamatan yang sejak kejatuhan manusia dijanjikan oleh Allah Bapa.
Minggu Palma sesungguhnya merupakan hari Minggu yang paling unit kerana perayaan kemenangan Kristus sebagai Raja dirayakan beramaan dengan kisah sengsara dan kematianNya di kayu salib. Betapa besarNya kasih Allah kepada manusia. Rencana penyelamatan setiap dari kita sememangnya dibayar dengan harga yang sangat mahal oleh Allah Bapa. Yesus harus mati sebelum Dia dapat menyelamatkan manusia dari perhambaan dosa. KebangkitanNya telah mengalahkan maut dan memberi jalan kemenangan kepada manusia ke atas kuasa dosa agar mampu diselamatkan dan didamaikan dengan Allah Bapa. Saya dan kamu telah diselamatkan dengan kuasa darah suci Yesus yang tercurah di kayu salib – melalui kematianNya di salib. Adakah anda mahu mempercayakan diri anda kepadaNya? Adakah anda sudi menerimaNya sebagai Juruselamat dan Raya dalam hidupmu? Ingatlah, setiap orang yang percaya padaNya dibayar dengan harga yang mahal iaitu nyawa Yesus sebagai jalan perdamaian di antara manusia dan Allah Bapa. Percayakanlah seluruh hidup anda sepenuhnya ke Yesus kerana Dialah Juruselamat!!
Ditulis oleh;
Kat. Athanasius Ebol