Renungan Hari Minggu Biasa Kedua Puluh Tujuh Tahun C
02/10/2022
Habakuk 1:2-3; 2:2-4; Timotius 1:6-8.13-14; Lukas 17:5-10
Shalom saudara dan saudari,
Bacaan untuk Hari Minggu Biasa ke-27 Tahun C mengingatkan kita untuk beriman dan bersabar. Dalam bacaan pertama nabi Habakuk mengadu kepada Tuhan tentang penindasan, kezaliman, penganiayaan dan kekerasan namun tiada bantuan yang kelihatan berlaku daripada Tuhan. Tuhan menjawab supaya bertahan, bersabar, beriman dan terus setia kerana masanya pasti tiba untuk Dia memenuhinya. Nyanyian mazmur mengajak kita untuk mendengar suara Tuhan dan jangan kita bertegar hati.
Dalam bacaan kedua, Paulus mengingatkan kita bahawa Allah akan memberikan kita Roh yang membangkitkan kekuatan, kasih dan ketertiban. Janganlah kita berasa malu bersaksi tentang Tuhan dan peganglah ajaran yang sihat dan lakukan itu dalam iman serta kasih dalam Kristus Yesus.
Dalam bacaan Injil, terdapat dua petikan yang berhubungan. Dalam petikan pertama yang ringkas, para rasul meminta daripada Yesus supaya iman mereka ditambahkan. Yesus menjawab mereka dengan membincangkan kerja pelayanan. Yesus menunjukkan bagaimana kerja pelayanan seorang Kristian yang sejati berakar daripada iman yang benar. Selain itu, petikan itu juga mendedahkan kuasa iman. Yesus berkata, “Sekiranya kamu memiliki iman sebesar biji sesawi, kamu dapat berkata kepada pohon ara ini, “Tercabutlah engkau dan tertanamlah di dalam laut dan pohon itu akan taat kepada mu.” Iman sekecil manapun cukup untuk menggerakkan Tuhan bekerja di dalam kita untuk membantu kita.
Petikan kedua adalah berkenaan ganjaran kepada kerja pelayanan. Kita tidak mempunyai hak untuk mengharapkan ganjaran daripada Tuhan. Yesus memberitahu kita bahawa Tuhan tidak perlu menjawab kepada kita, tetapi kita mesti percaya bahawa Dia bekerja dalam kehidupan kita. Kerja kita tidak bernilai; hanya pengakuan kita yang tidak berdaya dan kepercayaan kita kepada kuasa Tuhan dapat menyelamatkan kita. Kehidupan seorang Kristian sejati memerlukan kita untuk bersabar, percaya dan menyerahkan semuanya kepada Tuhan.
Menjadi murid Kristus bererti hidup dalam iman, harapan dan kebajikan, yang mana semua ini “telah ditanamkan oleh Tuhan ke dalam jiwa orang-orang yang setia untuk menjadikan mereka mampu bertindak sebagai anak-anak-Nya dan menghargai kehidupan kekal”. (CCC 1813)
Seorang Kristian adalah orang yang beriman. (Ibr. 11: 1) Iman bermaksud penerimaan dan komitmen. Kristian yang sejati adalah orang yang dengan bebas tanpa keraguan dan secara terangan berani menyatakan imannya kepada orang lain supaya mereka juga dapat dibawa ke dalam keimanan.
Seorang Kristian adalah orang yang berharap. (Rom. 8:24-25) Berharap adalah sikap yang yakin akan terjadinya sesuatu yang dijangkakan. Seorang Kristian sejati adalah orang yang hidup dengan penuh harapan, yakin bahawa kehendak Tuhan akan terjadi dan rencana-Nya akan selesai.
Seorang Kristian adalah orang yang mengasihi. (Jn. 13:35) Mengasih sesama sendiri adalah apa yang membezakan murid-murid Yesus. Seorang Kristian sejati adalah orang yang mengasihi seperti mana Kristus mengasihi. Amen.
Semoga semua diberkati.
Disusun oleh: Richard Jomiji Kinsil
St. Michael’s Parish Penampang