PERKONGSIAN HARI MINGGU BIASA
KEDUA PULUH SEMBILAN TAHUN C @ 16.10.2022
Shalom. Salam damai!
Tema pembacaan pada minggu ini adalah Kristus sentiasa berdoa untuk kita. Jika Kristus sentiasa berdoa untuk kita, adakah kita sentiasa berdoa? “Doa adalah tanda kehidupan iman.” Doa adalah persekutuan peribadi yang erat dengan Tuhan. Doa adalah percakapan sekaligus perjumpaan dengan Tuhan. Maka berdoa seharusnya sudah menjadi cara hidup orang-orang Kristian.
Dalam Pembacaan Pertama doa diungkapkan sebagai sumber kekuatan. Demikian pengalaman Yosua, Musa, Harun dan Hur dalam peperangan bangsa Isreal melawan orang Amalek. Selagi tangan Musa terangkat memohon kekuatan Tuhan maka lebih kuatlah pasukan Israel. Bila tangan Musa terturun kerana penat, maka Amaleklah yang lebih kuat. Ini membuat Harun dan Hur menopang kedua belah tangan Musa hinggalah Yosua mengalahkan Amalek dalam peperangan tersebut. Ini mengajar kita tentang sikap doa yang benar iaitu mengandalkan Tuhan dan saling bantu membantu dalam persekutuan doa agar kuasa Tuhan dapat bekerja dalam hidup kita sebagai umatnya. Pertolongan kita ialah pada Tuhan yang menjadi langit dan bumi seperti sahutan dalam Mazmur. Pertolongan Tuhanlah yang memberi kita kemenangan bukannya pertolongan manusia semata-mata.
Dalam Injil pula, Yesus menunjukkan satu lagi sikap doa yang betul kepada murid-muridNya bahawa mereka harus selalu berdoa dengan tidak jemu-jemu, Perumpamaan tentang seorang janda yang tidak jemu-jemu memohon pembelaan dari seorang hakim terhadap lawannya. Oleh kerana kesetiaannya memohon pembelaan dari hakim tersebut maka akhirnya ia memperolehi apa yang dimintanya. Demikian pula, kita harus bertekun dalam doa hinggalah kita memperoleh apa yang kita minta dari Tuhan. Datanglah ke hadirat Tuhan, duduk di dekat kakinya dan menangislah memohon pertolongan Tuhan. Doa yang didoakan dengan iman serta sepenuh hati adalah doa yang paling berkuasa.
Tuhan berkata, “Camkanlah apa yang dikatakan hakim yang tidak adil itu! Tidakkah Allah akan membenarkan orang-orang pilihanNya yang siang malam berseru kepadaNya? Dan adakah Dia membuang waktu sebelum menolong mereka? Aku berkata kepadamu Dia akan segera membenarkan mereka. Akan tetapi, jika Anak Manusia itu datang, adakah Dia menemukan iman di bumi?”. Hanya orang-orang yang benar, yang hidupnya berkenan kepada Tuhan yang dapat memperolehi apa yang dipohonnya dalam doa. Justeru, Rasul Paulus menasihatkan kita seperti yang dibuatnya kepada Timotius “Saudaraku terkasih, hendaklah engkau berpegang pada kebenaran yang telah engkau terima dan engkau yakini, dengan selalu mengingat orang yang telah mengajarkannya kepada mu. Ingatlah bahawa dari kecil engkau sudah mengenal Kitab Suci yang dapat memberi hikmat kepadamu dan menuntun engkau kepada keselamatan oleh iman kepada Yesus Kristus.”
Inilah kunci keberhasilan hubungan kita dengan Tuhan! Bacalah Firman itu, renungkanlah siang dan malam. Perkatakanlah Firman Tuhan. Lakukanlah Firman Tuhan. Bergaulah dengan Firman Tuhan setiap hari agar kita dapat hidup dalam perkenanan Tuhan. Iman kita kepada Tuhan semakin bertumbuh jika kita terus menghidupi dan melakukan Firman Tuhan. Maka setiap kali kita berdoa, Tuhan akan mendengar dan mengabulkan doa-doa permohonan kita. Tuhan memberkati. Amin.
Jinilis Ebol @ Athanasius