RENUNGAN HARI MINGGU PRAPASKAH KEDUA TAHUN B
Kejadian 22:1-2.9a.10-13.15-18; Roma 8:31-34; Markus 9:2-10
Kehidupan kita pada masa sekarang adalah jauh berbeza daripada kehidupan orang-orang di zaman Perjanjian Lama. Mereka pada masa itu menempuhi banyak cabaran untuk mengikuti, mentaati dan mematuhi perintah Tuhan di mana mereka juga sering terkesan dengan peperangan dan keganasan. Walaubagaimanapun, seperti kita juga, mereka sering terjebak dengan dosa-dosa yang mengundang kemurkaan Tuhan. Untuk penebusan dosa, mereka dikehendaki mengorbankan haiwan tetapi, ia hanya bersifat sementara maka itu, harus diulang-ulang. Penumpahan darah adalah perlu untuk pengampunan dosa. Tuhan mengajar orang Israel bahawa Dia adalah kudus dan suci dan dosa mesti dihakimi. Tetapi Tuhan juga mengajar mereka tentang rahmat dan belas kasihan-Nya, oleh itu mereka tidak dihukum mati akibat daripada dosa-dosa mereka kerana Tuhan sanggup menerima pengganti iaitu korban haiwan.
Kedatangan Yesus Kristus ke dunia telah banyak membawa perubahan kepada cara kita untuk mengikuti dan mematuhi perintah Tuhan. Kita tidak lagi dikehendaki untuk mengorbankan haiwan kerana Yesus Kristus sendiri telah menjadi korban yang sempurna dan lengkap bagi penebusan dosa manusia. Yesus mengajar bahawa cinta kasih kepada Tuhan dan sesama adalah perintah yang paling penting. Dia menunjukkan cinta kasih-Nya dengan memberkati dan melayani orang-orang miskin, sakit dan mereka yang dalam kesusahan dan tertindas. Dia memerintahkan pengikut-Nya untuk mengasihi sesama seperti yang dilakukan-Nya dan mematuhi perintah-Nya. Dia mengajar bahawa cinta kasih itu adalah pengorbanan, kerendahan hati, belas kasihan dan kedamaian. Cinta kasih adalah identiti bagi pengikut-pengikut Yesus.
Pembacaan hari minggu prapaskah kedua tahun B, menjemput kita untuk melihat wahyu Tuhan tentang Yesus Kristus sebagai anak kesayangan-Nya dan juga betapa dalamnya cinta kasih-Nya kepada kita. Pembacaan Injil menceritakan tentang Transfigurasi, di mana suara dari langit mendedahkan kepada Petrus, Yakobus dan Yohanes bahawa Yesus adalah anak kesayangan Tuhan dan mereka mesti mendengarkan-Nya. Dalam erti kata lain, Tuhan mahu pengikut-pengikut Yesus mendengar dan mengikuti ajaran-Nya kerana hanya melalui Yesus terdapat penyelamatan. Dalam peristiwa Transfigurasi ini, tertonjollah cinta kasih Tuhan kepada umat manusia di mana Dia telah memberikan anak kesayangan-Nya Yesus Kristus untuk menjadi korban darah yang sempurna dan lengkap. Yesus juga merupakan korban yang terakhir di mana tidak ada lagi korban haiwan yang diperlukan untuk penebusan dan pengampunan dosa manusia. Inilah hadiah paling istimewa yang Tuhan berikan kepada umat manusia.
Bacaan pertama menceritakan bagaimana Abraham bersedia untuk mengorbankan anaknya Ishak, tetapi Tuhan telah menghalangnya kerana perintah-Nya itu hanyalah satu ujian bagi Abraham untuk mengetahui kesetiaan dan ketaatannya. Kenapa Tuhan sanggup memintanya mengorbankan satu-satunya anaknya tidak difahami dengan sepenuhnya oleh Abraham tetapi iman dan kesetiaannya melebihi segala-galanya kerana dia percaya kepada rancangan Tuhan untuknya. Dia serahkan sahaja semuanya kepada Tuhan. Oleh itu, Abraham telah diberkati dengan berkelimpahan. Yesus juga seperti Abraham, menyerahkan semuanya kepada Allah Bapa tentang rancangan penyelamatan manusia. Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita setia, taat dan percaya kepada Tuhan dengan sepenuh hati seperti Abraham? Adakah kita juga akan menyerahkan semuanya kepada Tuhan dan percaya kepada rencana-Nya untuk kita?
Dalam pembacaan kedua, rasul Paulus telah menulis, jika Allah di pihak kita, tiada yang dapat melawan kita. Demi cinta kasih-Nya yang tiada had dan tidak bersyarat kepada kita, Tuhan menyerahkan Anak-Nya sendiri untuk disalibkan bagi menebus dosa-dosa kita. Dia menganugerahkan Anak-Nya kepada kita kerana mahu menyelamatkan kita daripada dosa-dosa yang boleh membawa kita kepada azab yang kekal.
Prapaskah adalah masa untuk memeriksa kehidupan kita dan melihat dosa-dosa kita dengan jelas. Ini adalah masa yang diberikan kepada kita setiap tahun untuk berhenti seketika dari kekeliruan dan kesibukan kehidupan dan mengkaji semula jalan kehidupan yang sedang kita lalui. Bagi sesetengah orang, meneliti dosa-dosa yang telah dilakukan mungkin boleh menjadi sukar terutamanya dosa-dosa yang berat. Ia mungkin boleh menyedihkan mereka dan boleh membawa kepada kemurungan dan putus asa. Tetapi semua ini mesti diatasi. Dan ia mesti diatasi tanpa mengabaikan dosa-dosa itu, sebaliknya, ia diatasi dengan mengalihkan fokus kita kepada kekuasaan, belas kasihan dan kemuliaan Tuhan. Jika kita menghadapi dosa-dosa tanpa harapan, kita akan binasa. Tetapi jika kita menghadapi dosa-dosa kita dengan mengingati siapa Yesus dan apa yang telah Dia lakukan untuk kita, betapa besarnya cinta kasih-Nya, betapa besarnya belas kasihan dan pengampunan-Nya, kita tidak akan berputus asa tetapi peroleh kemenangan dan kemuliaan.
Marilah renungkan dosa-dosa kita hari ini dan pergi membuat pengakuan dosa. Tetapi semasa berbuat demikian, kita juga harus merenung akan kemuliaan dan keilahian Tuhan. Dia datang untuk memberikan anugerah kekudusan kepada setiap diri kita. Inilah panggilan kita. Inilah maruah kita. Inilah yang mesti kita lakukan, dan satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah dengan membenarkan Tuhan membersihkan kita daripada setiap dosa dalam hidup kita dan menarik kita ke dalam kehidupan rahmat-Nya yang mulia.
Amen
Richard Jomiji Kinsil,
St. Thresa Child of Jesus, Kolopis
St. Michael Parish, Penampang