Saudari saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Hari ini adalah Hari Minggu Biasa ke-17 dan tema kita adalah “KRISTUS YANG MEMBERI KITA MAKAN”. Pembacaan minggu ini menggambarkan bagaimana Kristus, sebagai Roti Kehidupan, memenuhi keperluan kita dan memanggil kita untuk hidup dalam kesatuan dan kasih, walaupun dengan pelbagai cabaran dan perpecahan pada masa kini.
Dalam kitab kedua Raja-Raja, kita melihat bagaimana nabi Elisa memperbanyakkan roti untuk memberi makan seratus orang. Elisa percaya bahawa Tuhan akan menjaga umat-Nya walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan dalam Injil Yohanes, Yesus melakukan mukjizat yang sama dengan memperbanyakkan lima roti dan dua ikan untuk memberi makan lima ribu orang. Mukjizat ini tidak hanya menunjukkan kuasa Yesus tetapi juga kasih-Nya yang melimpah, memenuhi keperluan fizikal dan rohani umat-Nya.
Dalam keadaan sekarang yang penuh dengan ketidakpastian sama ada masalah ekonomi, kesihatan atau hubungan, kita selalu merasa seperti kita tidak mencukupi. Namun, seperti yang ditunjukkan oleh Elisa dan Yesus, Tuhan kita adalah pemelihara yang setia. Apabila kita bergantung kepadanya, dia akan menyediakan keperluan kita dan banyak lagi. Sebagai contoh, dalam situasi krisis peribadi atau komuniti, kita selalu melihat bagaimana Tuhan bekerja melalui orang lain dalam komuniti gereja, kawan-kawan atau pertolongan yang tidak kita jangka untuk memenuhi keperluan kita. Ini adalah peringatan bahawa Kristus, sebagai roti kehidupan, sentiasa ada untuk kita, walaupun dalam keadaan ketidakpastian.
Yesus bukan sahaja memperbanyakkan roti secara fizikal, tetapi juga memberikan diri-Nya sendiri sebagai Roti Kehidupan. Dia berkata dalam Injil Yohanes 6:35, “Akulah roti hidup; barangsiapa datang kepada-Ku, ia tidak akan lapar lagi, dan barangsiapa percaya kepada-Ku, ia tidak akan haus lagi.” Yesus memberikan Tubuh dan Darah-Nya dalam Ekaristi, menjadi makanan bagi jiwa kita, memberikan kekuatan dan hidup ilahi bagi setiap umat yang menyambut-Nya. Ini adalah hadiah yang sangat istimewa bukanlah untuk memuaskan rasa lapar kita, tetapi untuk menjadi kekuatan dan menjadi sumber dan daya hidup ilahi dalam setiap kita yang menyambut dan memakannya.
Marilah kita belajar untuk memberi dari diri kita sendiri dengan ikhlas. Ketika kita memberikan waktu, tenaga, dan sumber daya kita untuk Tuhan dan sesama, kita akan mengalami kelimpahan. Dalam pelayanan gereja atau komuniti, ketika kita melayani dengan hati yang tulus, Tuhan akan memperkaya pelayanan kita dan memberkati ramai orang. Dalam tindakan memberi ini, kita meneladani Kristus yang memberikan diri-Nya sepenuhnya bagi kita.
Dalam Surat Rasul Paulus kepada Jemaat di Efesus mengajarkan kita untuk hidup dalam kesatuan, dengan kerendahan hati, kelemahlembutan, dan kesabaran. Rasul Paulus mengingatkan kita bahawa kita adalah satu tubuh di dalam Kristus, dan kita dipanggil untuk memelihara kesatuan Roh dalam ikatan damai sejahtera.
Dalam setiap keadaan, sama ada masalah peribadi atau tentangan sosial, kita dipanggil untuk menjadi contoh dari kasih Kristus yang menyatukan dan memelihara kesatuan. Dengan demikian, kita tidak hanya hidup sebagai satu tubuh di dalam Kristus tetapi juga menjadi saksi kasih dan kesatuan Tuhan bagi sesama. Saudara-saudari yang dikasihi, kita diajak untuk merenungkan bagaimana Kristus, sebagai Roti Kehidupan, memenuhi semua keperluan kita dan memanggil kita untuk hidup dalam kesatuan dan kasih.
Dalam setiap tentangan, kita dipanggil untuk bergantung kepada Kristus yang akan sentiasa menyediakan keperluan kita. Dalam setiap perpecahan, kita dipanggil untuk memelihara kesatuan dan bekerjasama sebagai satu tubuh di dalam Kristus. Marilah kita hidup dalam kepercayaan bahawa kasih dan pemeliharaan Tuhan sentiasa hadir, dan dengan iman yang teguh, kita akan menjadi saluran berkat dan kasih kepada orang lain.
St. Teresa dari Calcutta berkata: “Dia menggunakan kita untuk mewujudkan cinta dan belas kasihan-Nya di dunia walaupun kita lemah dan rapuh.” Berdoalah agar kita akan mengambil bahagian untuk memberi, walaupun sedikit yang kita ada. Amen.
Larry Joy Tokuzip