Renungan Hujung Minggu (5 Januari 2025)
Hari Raya Penampakan Tuhan
Yes. 60:1-6; Mzr. 71; Ef. 3:2-3.5-6; Mt. 2:1-12
Shalom Saudara dan Saudari dalam Kristus,
Selamat hari natal dan tahun baru 2025.
Hari ini kita meraikan Hari Raya Penampakan Tuhan (Epiphany). Istilah Epiphany berasal daripada bahasa Yunani, “Epiphaninen” yang bermaksud “mendedahkan” atau “menzahirkan”. Ia meraikan pelbagai cara Yesus mendedahkan diri-Nya bukan sahaja kepada orang Yahudi tetapi juga kepada kita dan semua bangsa di dunia ini. Ini termasuk tiga peristiwa yang menunjukkan misi dan keilahian-Nya: kunjungan tiga raja atau Majus (Mat 2: 10-12), pembaptisan Yesus (Mk 1: 9-11), dan mukjizat di Kana ( Yoh 2: 1-11).
Kelahiran Yesus telah memberi banyak pendedahan. Satu pendedahan yang relevan bagi kita adalah berkenaan dengan keselamatan orang bukan Yahudi. Penampakan Yesus kepada orang Majus telah membuka jalan kepada keselamatan orang bukan Yahudi. Mereka mewakili semua bangsa selain orang Yahudi. Petikan dari bacaan pertama menceritakan yang keselamatan yang dijanjikan kepada Israel bukan hanya untuk orang Yahudi tetapi kepada semua bangsa di seluruh dunia. Dalam bacaan kedua juga mengatakan bahawa berkat pewartaan Injil, orang-orang bukan Yahudi pun turut menjadi ahli waris, menjadi anggota-anggota tubuh serta peserta dalam janji yang diberikan Yesus Kristus. Ini bermaksud keselamatan bukan sahaja dimiliki oleh orang Yahudi tetapi juga milik orang bukan Yahudi.
Bagi kita orang Kristian, Kristus membawa keselamatan bukan hanya kepada kita, tetapi juga kepada mereka yang belum menemui Yesus. Epiphany telah membuka jalan kepada semua orang untuk menemui Yesus. Oleh itu, kita harus pergi menyedarkan mereka yang belum mengenali Yesus ini tentang apa yang ditawarkan oleh Kristus kepada mereka. Jadi hari ini, dengan kelahiran Yesus, Tuhan mendedahkan diri-Nya kepada kita kerana Dia baik dan pengasih. Hari ini, Tuhan Yesus Kristus telah memanjangkan dan memperluaskan batas sempadan kasih-Nya kepada kita juga. Dia membenarkan dirinya untuk menerangi kegelapan hidup kita. Cahaya yang memancar ke atas kita hari ini adalah cahaya kehidupan daripada Kristus dan kita mesti mendapatkan cahaya ini dan memantulkannya kepada orang lain.
Kita juga mesti menjadikan hidup kita lebih baik dengan membiarkan kebaikan yang mengalir daripada kita untuk membantu orang lain. Pada tahun baru ini, kita mesti membiarkan terang kita bersinar supaya orang lain dapat melihat dengannya semasa Kristus menerangi jalan dalam kehidupan kita dengan terang-Nya, kehadiran ilahi-Nya, dan nasihat-Nya.
Injil dari Matius hari ini, adalah mengenai kunjungan tiga raja yang bijaksana. Mereka datang untuk menyembah dan memberikan hadiah kepada Raja yang baru lahir, iaitu Yesus Kristus. Petikan Injil ini mempunyai beberapa pengajaran yang boleh kita pelajari.
Pertama, ketiga-tiga raja itu datang untuk mempersembahkan penyembahan yang tulen kepada Kristus sebagai Raja segala raja. Oleh itu, kita pun harus membuat penyembahan kepada Tuhan dengan ikhlas dan dari hati kita seperti yang dilakukan oleh tiga raja itu. Ia mestilah tidak seperti penyembahan palsu yang dikatakan oleh Herodes semasa berbicara dengan orang Majus itu.
Kedua, kita mesti bersedia untuk menawarkan sesuatu kepada Yesus. Kita tidak boleh menghadap Tuhan dengan tangan kosong. Jadi, kita mesti bertanya pada diri kita hari ini, apakah yang saya persembahkan kepada Tuhan kerana kebaikan-Nya kepada saya? Satu-satunya hadiah yang mesti kita persembahkan kepada Tuhan ialah diri kita sendiri dengan menjalani kehidupan yang kudus, mengasihi Tuhan dan tetangga kita, mentaati-Nya, mempunyai kerendahan hati, memberi kedamaian kepada keluarga dan dunia kita, dan membuat pengorbanan untuk satu sama lain. Selain itu, kita mesti belajar untuk bermurah hati kepada orang lain seperti yang dilakukan oleh tiga raja yang bijaksana itu kepada Yesus.
Bagi anak-anak, semasa kamu mengharapkan hadiah daripada ibu bapa kamu hari ini, kamu harus juga cuba untuk bermurah hati kepada orang lain, terutamanya kepada ibu bapa kamu. Dan untuk Ibu bapa, marilah beramal kepada anak-anak kita hari ini dengan memberi mereka hadiah seperti yang dilakukan oleh raja-raja yang bijaksana itu kepada Yesus.
Ketiga, kita mesti belajar daripada raja-raja yang bijaksana itu untuk terus mengikuti bintang dan cahaya yang Kristus tunjukkan kepada kita. Maksudnya, kita tidak boleh membiarkan diri kita tertipu atau terganggu dalam perjalanan iman kita menuju kekudusan seperti yang cuba dilakukan oleh Herodes kepada orang Majus itu. Dengan mempercayai bahawa Tuhan tidak akan menipu atau menyesatkan kita, kita mesti terus melihat bintang dan cahaya-Nya dalam hidup kita di sepanjang perjalanan kita menuju kehidupan yang kekal.
Apabila kita keliru ataupun sampai ke persimpangan kehidupan, kita harus berdoa untuk meminta bantuan Roh Kudus supaya kita dapat melihat bintang Kristus muncul untuk menunjukkan kepada kita jalan yang harus kita lalui. Inilah yang boleh kita rujuk sebagai bimbingan dan nasihat ilahi dalam kehidupan kita di mana kita mesti memohonnya daripada Tuhan dengan berdoa, “Allah Bapa, bimbinglah kami dengan terang-Mu. Tolonglah kami mengenali Kristus dalam Ekaristi dan menyambut Dia dengan kasih, kerana Dia adalah Tuhan kami selama-lamanya”. Amin!
Kat. Richard Jomiji Kinsil
St. Michael Penampang
PFO CFC Sabah