Pembacaan Pertama : Kitab Ulangan 26 : 4 – 10
Pembacaan Kedua : Roma 10 : 8 – 13
Injil : Lukas 4 : 1 – 13
Shallom saudara- saudari saya yang terkasih, kita sudah memasuki Hari Minggu Prapaskah Pertama bagi Tahun C dan dalam pembacaan-pembacaan pada hari ini, kita diseru oleh Allah agar di musim puasa ini, kita memperbetulkan langkah-langkah kehidupan kita seharian sebagai seorang Katolik, supaya kita boleh merasai bagaimana peristiwa kesengsaraan, wafat dan bangkitnya Yesus Kristus. Kalau kita benar-benar mengikuti ataupun mengerti apakah puasa ini, sudah tentu hati kita akan tergerak untuk berterima kasih kepada Allah terutama sekali kerana memberi kita anugerah penyelamatan yang disediakan oleh Kristus kepada kita. Berpuasa bermaksud penyerahan badan dan jiwa kita sepenuhnya kepada Allah dengan kita hidup memuliakan Allah. Dengan berpuasa, ianya dapat menguatkan kita untuk melawan dan menghindarkan pengaruh-pengaruh syaitan, niat untuk berjinak dengan duniawi dan kita dapat melawan segala keinginan kita yang berbentuk kebendaan. Di musim puasa ini juga, gereja menuntut kita agar kita bersedekah dan menderma kepada orang-orang yang dalam kesusahan dan kesempitan, anak yatim dan kita diseru untuk menghormati setiap hari Jumaat dengan menghindari dari memakan segala jenis daging dan kita perbanyakkan masa berdoa.
Dalam pembacaan Injil, ianya menceritakan, selepas Yesus berpuasa selama 40 hari, iblis telah datang untuk mencobai Dia. Cobaan pertama Iblis adalah ianya telah mencobai Yesus mengenai dengan kehendak ataupun keperluan jasmaniNya dimana iblis meminta Yesus untuk menjadikan batu bertukar menjadi roti. Iblis tahu bahawa pada masa itu Yesus merasa terlalu lapar selepas 40 hari berpuasa dan sudah tentu Yesus memerlukan makanan pada masa itu. Tetapi iblis lupa bahawa semasa Yesus berpuasa, Dia menumpukan sepenuhnya segala pengharapan dan pemikiranNya kepada Allah. Bukan makanan jasmani yang dicari olehNya tetapi firman Allah yang memberi penyelamatan dan kehidupan. Yesus berjaya melawan iblis itu dengan berkata,” Ada tertulis, manusia bukan hidup hanya dari roti tetapi dari firman Tuhan yang keluar dari mulut Allah,” Saudara-saudari, firman Allah mampu untuk menyelamatkan dan memberikan kita kekuatan untuk melawan dari percobaan-percobaan, seperti juga dengan apa yang diungkapkan dalam pembacaan kedua yang dipetik dari Rasul Paulus kepada jemaat di Roma, dimana Rasul Paulus berkata dan menyebarkan kepada orang-orang di Roma dan juga kepada kita semua berkenaan dengan Berita Baik penyelamatan kepada kita. Ia menyeru kita agar percaya kepada Yesus agar kita semua dapat penyelamatan dariNya.
Percobaan kedua iblis kepada Yesus adalah, iblis membawa Yesus di tempat yang tinggi dan memperlihatkan kerajaan dunia. Iblis berkata kepada Yesus bahawa ia akan memberikan kepadaNya semua kerajaan dunia itu sekiranya Yesus menyembah dia, tetapi Yesus tidak menerima tawaran iblis berkenaan, sebab Allah berkata bahawa semua kuasa di langit dan bumi adalah di tangan Allah. Yesus berkata bahawa Ia datang ke dunia ini adalah untuk memuliakan Allah dengan melaksanakan kerja-kerja penyelamatan bagi manusia yang ditentukan bagiNya. Yesus berkata kepada iblis,” Ada tertulis : Engkau harus menyembah Tuhan, Allah mu, dan hanya kepada Dia sahajalah engkau harus berbakti,” dan kata-kata Yesus demikian amat sinonim dengan apa yang diungkapkan dalam pembacaan pertama yang dipetik dari Kitab Ulangan, dimana ianya berkata bahawa Allah sahajalah pengharapan kita, Allah sentiasa mendengar segala kesengsaraan dan kesedihan kita dan Dia menyelamatkan kita dari penghambaan dosa. Kita sentiasa akan dibimbing olehNya dalam perjalanan seharian kita jikalau kita mencariNya dalam kehidupan kita.
Ketiga, iblis mencobai Yesus dengan perkara yang berkait dengan kerohanian. Ia membawa Yesus ke puncak Bait Allah dan iblis berkata kepada Yesus dengan mengaitkan ayat didalam Buku Suci untuk meminta Yesus terjun dari atas Bait Allah berkenaan, iblis berkata bahawa malaikat-malaikat Allah sudah tentu akan datang menyelamatkan Yesus. Tetapi Yesus menjawab iblis berkenaan,” Ada tertulis, jangan mencobai Tuhan Allahmu,” Saudara-saudari, dalam musim puasa ini, kita berdoa kepada Tuhan Allah kita agar kita dapat melihat dan bertahan untuk melawan segala percobaan dari iblis, serta segala tarikan ataupun ajakan iblis untuk berbuat yang tidak baik. Kita seharusnya sentiasa berwaspada dengan segala perangkap mereka kepada kita sambil kita memohon berkat kekuatan dari Tuhan untuk melindungi kita dari segala percobaan iblis ini. Sekiranya kita jatuh, kita mohon keampunan serta pembaharuan dariNya. Jangan kita biarkan iblis untuk berpegang kepada kita dengan segala janji dusta mereka kepada kita dengan kita selalulah berdoa dengan Doa Bapa Kita, kita memohon agar kita tidak dibiarkan dalam percobaan, tetapi melepaskan kita dari yang jahat.
Saudara-saudari, kunci kemenangan Yesus dari segala percobaan adalah Yesus menuruti segala jalan dan perintah Allah kepadaNya. Mari kita ambil contoh dari Tuhan Yesus, disebabkan kita sebagai manusia biasa, sudah tentu kita akan merasai dan berdepan dengan percobaan-percobaan sedemikian dimana ianya mencabar iman kita. Segala ketahanan dan kesabaran Yesus semasa Dia dicobai seharusnya kita contohi saudara-saudari. Allah memberi kita peluang sekali lagi untuk berbalik kepadaNya dengan menghadiri sakramen pengakuan dan kita ambil masa puasa ini untuk menghindarkan diri dari apa yang ditegah oleh gereja kita selagi kita masih berpeluang berbuat demikian. Kita percayalah dan berpegang kepada Firman Allah, dan marilah memberikan pengharapan sepenuhnya kepadaNya dalam apa jua berlaku agar kita sentiasa teguh dan kukuh sekiranya kita dicobai oleh iblis dalam kehidupan kita seharian, dan agar kita seterusnya terlepas dari penghambaan dosa-dosa kita.
Amen.
Albert Mining
Paroki Penampang