HARI MINGGU KETIGA
MUSIM PRAPASKAH TOUN A @ 23/3/2025
Saudara-saudari yang amat dikasihi Tuhan,
Pada minggu Ketiga Prapaskah ini, para katekumen atau calon baptis akan menjalani Upacara Penyucian Pertama sebagai persiapan rohani sebelum pembaptisan mereka pada malam Paskah nanti. Mereka akan melalui upacara penyucian ini sebanyak tiga kali. Upacara ini mengingatkan kita bahawa kita perlu memiliki kehidupan yang suci dan kudus agar mampu mengalami perjumpaan peribadi dengan Allah.
Tema perayaan pada minggu ini adalah Air yang Hidup. Saya percaya saudara-saudari pernah merasa sangat haus. Maksud saya, bukan haus yang sejuk-sejuk ya @ harimau ka, holandia ka- tetapi haus akan air yang memberi kelegaan terutama sekali pada musim panas. Keperluan bagi kita untuk minum dengan kerap adalah jelas; tanpa air kita akan cepat mati.
Firman Tuhan dalam pembacaan pertama menegaskan bahawa Allah adalah air kepada umatNya di padang gurun. Sementera dalam pembacaan kedua, air juga adalah simbol Roh Kudus, diberikan kepada kita agar kita dapat minum daripadaNya. Sementara dalam Injil, wanita Samaria bercakap dengan Yesus tentang air kehidupan kekal. Yesuslah air kehidupan yang mampu menghilangkan dahaga kepada setiap peribadi yang haus akan Dia sebagai sumber air yang memberi hidup.
Yang sukar dimengerti ialah kehausan jiwa akan makna, visi dan tujuan hidup. Terlalu sibuk dengan benda-benda yang remeh-temeh hingga kita mengabaikan kerinduan roh kita untuk kehidupan kekal. Seperti orang Israel, kita sentiasa bimbang tentang keperluan fizikal, tetapi seringkali tidak memikirkan Tuhan yang menyediakan segala sesuatu. Kita jarang berterima kasih ke pada Tuhan ke atas pemberianNya tetapi sentiasa bersungut-sungut menyalahkan Tuhan saat kita menghadapi masalah dalam hidup ini. “Adakah Tuhan
di tengah-tengah kita atau tidak?” Seolah-olah Tuhan tidak mempedulikan kita dan membiarkan kita menderita.
Dalam Perjanjian Lama, air adalah lambang umum untuk kepuasan rohani (Yes 12, 3). Bacaan pertama hari ini memberitahu kita tentang penderitaan orang Israel di padang gurun. Selepas empat ratus tiga puluh tahun dalam perhambaan di Mesir, Tuhan datang untuk membebaskan mereka (Kel 12, 40) melalui perantaraan Musa.Namun begitu, ketika berada di padang gurun, mereka merungut terhadap Musa dan terhadap Tuhan kerana mereka dahagakan air. Tuhan memerintahkan Musa untuk memukul gunung batu di Horeb. Daripadanya, air keluar. Orang Israel minum dan kenyang. Batu yang dipukul Musa, dan air yang memancar daripadanya secara umum menggambarkan Kristus. Dia adalah batu karang keselamatan kita dan air hidup kekal kita.
Pada hari Minggu Prapaskah ketiga ini, kita juga memerlukan minuman rohani dari air hidup yang mengalir dari Kristus, Batu Karang. Oleh itu, kita mesti: “Tarik air dari perigi keselamatan” (Ish 12:3) untuk menghilangkan dahaga rohani kita pada musim Prapaskah ini.
Dalam bacaan kedua, Paulus menggambarkan bagaimana kasih Kristus “dicurahkan ke dalam hati kita oleh Roh Kudus.” Di sini, Paulus secara tersirat menyebut air menggunakan kata kerja: “menuangkan.” Dia mengingatkan kita juga betapa tidak berdayanya hidup kita tanpa Kristus, Air Hidup itu. Dengan kata lain, Kristus menjadikan dirinya sumber kehidupan kita sendiri melalui kematiannya.
Dalam Injil hari ini, Yesus memperkenalkan dirinya kepada wanita Samaria sebagai Air Hidup Kekal. Ini menekankan kepentingan Kristus dalam kehidupan kita. Jika kita ‘disambungkan’ pada sumber Air Hidup Kekal iaitu Yesus , sudah pasti kita akan memberi kesaksian yang luar biasa dan lebih meyakinkan dalam pemberitaan Injil.
Fokus pembacaan pada Minggu Ketiga Prapaskah minggu ini adalah iman, pertobatan dan kerinduan Tuhan untuk memenuhi kita dengan kehidupan baharu.
Pembacaan pada minggu ini menunjukkan kepada kita tindak balas Tuhan terhadap keperluan manusia dan bagaimana Dia memanggil kita untuk berpaling kepada-Nya dengan hati yang terbuka.
Kehausan Rohani: Air adalah simbol yang memberi kepuasan, kepenuhan dan kehidupan. Yesus adalah sumber air yang sebenar yang dapat memuaskan kehausan rohani manusia yang dahagakan kepuasan dalam hidupnya. Di dalam diri Yesus, Air Hidup Kekal, Dia akan memenuhi kehausan kehidupan rohani kita dengan memberi diriNya sebagai minuman rohani kita.
Kesetiaan Tuhan: Tuhan menyediakan air kepada orang Israel di padang gurun dan menawarkan air hidup melalui Yesus kepada wanita Samaria. Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa Tuhan sentiasa setia, walaupun kita bergelut untuk mempercayai-Nya.
Pertobatan: Pertemuan wanita Samaria dengan Yesus mengubah hidupnya. Puasa adalah masa untuk bertobat dan membiarkan Tuhan mengubah kita sama seperti Dia mengubah wanita Samaria itu.
Apakah hidup kita sudah mula berubah setelah menjalani musim Prapaskah sehingga sekarang? Atau apakah kita masih seperti lagu bertajuk: ‘Aku masih seperti yang dulu’
Yang membenci seseorang sudah mula mengasihi orang yang dibencinya.
Yang suka marah-marah sudah bersikap lemah lembut
Yang tidak boleh mengampuni sudah mengampuni dan sudah berdamai dengan orang yang menganiaya dan membuat dia menderita.
Yang ada musuh sudah mendoakan musuhnya dan berbuat baik pada dia.
Yang kecewa pada seseorang sudah tidak merasa kecewa lagi
Yang kuat ‘menggosip @ mulut celupar’ hanya mengucapkan berkat-berkat untuk orang lain
Yang kuat ‘araimaiti’ sudah jarang-jarang sudah ‘moginum’ dan mula tidak kenal apa itu ‘haaaus!’.
Yang ketagihan berjudi sudah jarang-jarang, kadang-kadang, sekali-sekala berjudi.
Yang berdendam dengan seseorang sudah berdamai dengan orang itu.
Yang suka menipu orang lain sudah bertobat.
Carilah wajah Kristus dengan segenap hati kita. Pasti kita akan mengalami perjumpaan peribadi denganNya. Hidup kita pasti diubah. Kita akan minum Air Hidup Kekal di dalam diri Yesus. Hidup kita semakin suci dan kudus.
Kasih Tuhan untuk Orang Berdosa: Yesus bertemu dengan wanita Samaria di mana dia berada, walaupun dia berdosa pada masa lalu. Tuhan tidak akan berpaling daripada kita tetapi mengajak kita untuk menerima rahmatNya.
Yesus, Air Hidup: Yesus bercakap tentang air hidup yang membawa kehidupan kekal. Dia sahaja yang dapat memenuhi kerinduan kita yang terdalam dan memberi kita kehidupan yang tidak pernah pudar.
Kesaksian dan Penginjilan: Selepas bertemu dengan Yesus, wanita Samaria itu pulang ke bandarnya dan berkongsi pengalamannya. Kesaksiannya menunjukkan kepada kita bahawa dengan berkongsi iman kita boleh membawa orang lain mencari Yesus.
Damai Melalui Rekonsiliasi: Rasul Paulus menulis tentang kedamaian yang kita miliki dengan Tuhan melalui Yesus. Pra Paskah menyeru kita untuk mencari kedamaian ini dengan berdamai dengan Tuhan dan orang lain.
Pada masa Prapaskah, Gereja menjemput kita untuk membuka hati kita kepada kasih dan belas kasihan Tuhan. Pembacaan pada Ahad ke-3 Prapaskah Tahun A menggalakkan kita untuk memperdalam iman kita dan membiarkan Tuhan menyegarkan semangat kita.
“Saudara-saudaraku, ada rasa dahaga dalam setiap hati manusia. Setiap daripada kita adalah seperti wanita Samaria yang kesepian itu. Kita dahagakan sesuatu, sesuatu yang akan memuaskan semua kerinduan kita. Tetapi selalunya kita mencari di tempat yang salah. Kami mengambil air dari banyak telaga: air pujian untuk menghilangkan dahaga kita akan harga diri; air kejayaan untuk menghilangkan dahaga kita akan kepentingan diri; air kenikmatan untuk menghilangkan dahaga kita akan kegembiraan. Namun, kita masih lagi haus. Kerana hanya Allah yang dapat memberikan apa yang kita cari. Tuhan sahaja yang boleh menyebabkan mata air mengalir di dalam diri kita dan air dari mata air ini akan menyonsong kita dalam perjalanan kita ke Tanah Perjanjian untuk hidup yang kekal.”
Tuhan memberkati!
Kat. Athanasius J. Ebol
Paroki SM Penampang