PERKONGSIAN
HARI RAYA TUBUH DAN DARAH YESUS
(CORPUS CHRISTI) @ 22-6-2025
Saudara-saudari yang amat dikasihi Tuhan.
Minggu ini kita merayakan Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus yang juga dikenali sebagai ’Corpus Christi’.
Perayaan Tubuh dan Darah Kristus mengingatkan kita pada malam Khamis Putih bilamana Yesus menginstitusi atau memulakan perayaan Ekaristi yang pertama kalinya.
Kini, Ekaristi adalah sumber dan puncak seluruh hidup Kristiani. Setiap kali Misa Kudus atau Ekaristi dirayakan, kita berpeluang untuk mengalami kasih Kristus yang luarbiasa saat kita menerima Tubuh dan DarahNya dalam bentuk ’roti’ yang telah bertukar menjadi Tubuh dan Darah Kristus semasa konsekrasio. Inilah sumber kekuatan kita sebagai umat Katolik. Kita harus menerimanya dengan iman tanpa was was lagi bahawa yang kita terima itu adalah benar-benar Yesus.
Dalam Injil, kita mendengar bagaimana Yesus telah memberi makan kepada 4,000 orang lelaki dengan hanya lima keping roti dan dua ikan. Setelah menengadah ke langit dan memberkati, Yesus memecah-mecahkan roti itu dan memberikannya kepada para murid-Nya untuk diagihkan kepada orang banyak. Mereka semua makan sampai kenyang. Malah masih ada dua belas bakul potongan roti yang tertinggal.
Jelas sekali dari mukjizat lima roti dan dua ikan itu, kita mempunyai jaminan bahawa Tuhan sentiasa memelihara kita dan menyediakan apa yang kita perlukan dalam hidup ini. Malah Dia memberi kita lebih dari apa yang kita perlukan. Dialah Hehovah Jireh bermaksud “Tuhan Menyediakan”. Makanya, jangan takut. Percaya saja. Dengan iman pada Yesus, Dia pasti mencukupkan apa yang kita perlukan dalam hidup kita. Amin.
Yesus tahu kita memerlukan makanan untuk kekal kuat mengikutiNya. Justeru, Dia memberi kita Tubuh dan DarahNya sebagai sumber kekuatan rohani agar kita kekal kuat dalam kehidupan rohani kita.
Dalam Pembacaan Kedua, Rasul Paulus mengingatkan Jemaat di Korintus bagaimana Yesus telah mempersembahkan TubuhNya sebagai makanan rohani umatNya. Bahawa pada malam Ia diserahkan, Dia mengambil roti dan sesudah mengucap syukur atasnya, Ia membagi-bagi roti itu seraya berkata ”Inilah Tubuh-Ku, yang diserahkan bagimu; perbuatlah ini untuk mengenangkan Daku!. Demikian juga Ia mengambil cawan, sesudah makan, lalu berkata, ”Cawan ini adalah perjanjian baru yang dimeteraikan dalam Darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, perbuatlah ini untuk mengenangkan Daku!. Sebab setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu mewartakan wafat Tuhan sampai Ia datang.”
Dalam Pembacaan Pertama, kita mendengar bagaimana Raja Melkesidek yang juga imam Allah Yang Maha Tinggi, membawa roti dan anggur untuk dipersembahkan kepada Abram setelah Abram memperolehi kemenangan mengalahkan musuh-musuhnya dalam peperangan berkat campurtangan Tuhan.
Demikian pula, Yesus telah mempersembahkan diriNya sebagai makanan rohani umatNya. Yesus adalah imam untuk selama-lamanya menurut Melkisedek. Dialah yang akan memberi kita makanan seperti yang dilakukannya ke atas 4,000 orang seperti yang kita dengar dalam pembacaan Injil hari ini. Makanan yang Dia beri adalah Tubuh dan DarahNya yang akan memberi kita kekuatan rohani dalam ziarah pengharapan kita sebagai orang-orang percaya.
Adakah saudara-saudari percaya bahawa apa yang kita terima semasa komuni adalah benar-benar Yesus?
Atau kita memakan Tubuh dan Darah Yesus semasa komuni hanyalah sebagai kebiasaan. Tidak hairanlah kebanyakan dari kita tidak mengalami perubahan hidup biarpun telah menerima Yesus dalam komuni.
Tahukah saudara-saudari bahawa saat kita menerima komuni, kita akan mengalami perjumpaan peribadi dengan Yesus secara luarbiasa. Dia akan bersatu dengan kita saat kita menerima komuni. Dia Tuhan. Dia ada Juruselamat kita. Tidak mungkin kita tidak mengalami perubahan hidup setelah menerima Yesus dalam komuni. Perjumpaan peribadi dengan Yesus semasa komuni mampu mengubah hidup kita, malah ada yang mengalami penyembuhan dari penyakitnya dan pelepasan ikatan kuasa kegelapan. Hidup kita semakin diubah. Semakin dikuduskan. Semakin suci dan layak menerima kehidupan kekal yang dijanjikan oleh Yesus.
Maka, pada hari ini, dalam perayaan Hari Raya Tubuh dan Darah Yesus, marilah merenung sejauh mana iman kita terhadap apa yang kita terima semasa komuni selama ini. Adakah kita telah menyambut Tubuh dan Darah Yesus dengan kesedaran bahawa kita sebenarnya menerima Yesus secara peribadi?
Kebenaran ini dinyatakan dalam Injil Yohanes: 6:53 Maka kata Yesus kepada mereka: “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya jikalau kamu tidak makan dagingi Anak Manusiaj dan minum darah-Nya,k kamu tidak mempunyai hidup di dalam dirimu. 6:54 Barangsiapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku 9 , ia mempunyai hidup yang kekal dan Aku akan membangkitkan dia pada akhir zaman.l 6:55 Sebab daging-Ku adalah benar-benar makanan dan darah-Ku adalah benar-benar minuman. 6:56 Barangsiapa makan daging-Ku dan minum darah-Ku, ia tinggal di dalam Aku dan Aku di dalam dia.m 6:57 Sama seperti Bapa yang hidup mengutus Akun dan Aku hidup oleh Bapa, demikian juga barangsiapa yang memakan Aku, akan hidup oleh Aku. 6:58 Inilah roti yang telah turun dari sorga, bukan roti seperti yang dimakan nenek moyangmu dan mereka telah mati. Barangsiapa makan roti ini, ia akan hidup selama-lamanya.
Jelas sekali, bahawa yang kita terima semasa komuni dalam bentuk ‘roti’ adalah benar-benar Tubuh dan Darah Yesus @ yakni Yesus sendiri. Agar kita memperolehi kehidupan kekal, Dia memberi Dirinya sebagai makanan rohani kita. Sudah pasti, hidup kita diubah semakin serupa dengan Dia.
Apakah hidup kita sudah diubah setelah menerima Yesus dalam komuni sejak bertahun-tahun sudah bagi sudah boleh menerima komuni? Syukur! Puji Tuhan.
Bagi yang masih kepahitan, penuh dengan kemarahan, kekecewaan, kebencian, dendam, hidup dalam kedagingan dan lebih-lebih lagi yang tidak boleh melepaskan pengampunan kepada orang-orang yang telah menyakiti kita, Yesus yang kita terima semasa komuni mampu menolong kita. Serahkan hidupmu sebagai persembahan yang sejati dan berkenan pada Tuhan. Pasti kita mengalami pertemuan peribadi dengan Yesus yang mampu mengubah hidup kita menjadi lebih kudus.
Sempena Hari Raya Tubuh dan Darah Yesus yang kita rayakan pada hari ini, semoga kita semakin rindu menerima komuni dengan taat menghadiri Misa Kudus atau Liturgi Sabda setiap minggu dan bila ada kesempatan. Yakinlah, bahawa perjumpaan peribadi dengan Yesus terjadi saat kita menerimaNya dalam komuni.
Semoga komuniti di sini terus hidup dalam kesatuan, kasih, dan pengharapan yang teguh serta bersatu dengan Tuhan di dalam perayaan Ekaristi.
Tuhan memberkati!
(Athanasius J. Ebol)