
RENUNGAN MINGGUAN
19 Oktober 2025
Bacaan 1: Kel. 17:8-13
Bacaan II: 2 Tim. 3:14-4:2
Bacaan Injil: Luk. 18:1-8
Bacaan-bacaan suci minggu ini mengajak kita untuk berdoa dengan tidak jemu-jemu dan juga bekerja dengan giat, penuh semangat. Dengan banyak cara, Allah yang Maha Baik memerhatikan kita dan bekerja di dalam hidup kita. Pada Minggu Biasa ke-29, juga merupakan Minggu Misi, Gereja memilih bacaan Injil tentang ajaran Yesus supaya kita tidak jemu berdoa. Misi ini tidak semestinya kita pergi ke suatu tempat, wilayah atau ke tempat yang lain. Berdoa dalam kelompok kecil,di rumah bersama keluarga ataupun di bilik kita masing-masing juga merupakan sebuah misi.
Berdoa boleh dikatakan sebagai misi rohani, kerana melalui doa-doa yang kita mohon kepada Tuhan, kita turut ambil bahagian dalam penyelamatan jiwa-jiwa, khususnya yang hidup dalam kegelapan iman. Dengan berdoa, kita memohon terang Roh Kudus bagi mereka yang jiwanya berada dalam kegelapan, sehingga dapat kembali kepada terang dan kebenaran.
Pernah Paus Fransiskus menyebut doa sebagai nafas dan detik jantung Gereja, ertinya selalu berdoa, kita turut serta menjaga kehidupan Gereja. Santa Teresia dari Kanak-Kanak Yesus, merupakan salah satu orang kudus yang diangkat oleh Gereja sebagai pelindung misi. Walaupun berada di dalam biara clausura (tertutup), Santa Teresia mempersembahkan doa-doanya bagi semua orang yang terlibat dalam misi.
Sebuah misi dapat berhasil, apabila misionaris itu melaksanakan misinya dengan tekun dan tidak mudah menyerah. Demikian pula,misi ini harus dilakukan “dengan tidak jemu-jemu”. Sebagai manusia biasa, terkadang kita merasa jemu dan bosan. Namun, Yesus menasihatkan kita semua untuk tidak “tidak jemu-jemu berdoa”. Santo Yohanes Salib juga menasihati kita perihal berdoa, iaitu ketika dilanda kebosanan dengan doa, kita diminta untuk tetap berdoa.
Mengapa ketika kita merasa bosan dalam berdoa, kita tetap dan harus berdoa? Kerana rasa bosan adalah cara si jahat atau iblis untuk menghentikan kita agar tidak berdoa lagi. Di saat kita tidak lagi berdoa, kita tidak datang lagi pada Tuhan atau seperti perumpamaan janda dan hakim dalam bacaan Injil hari ini, menekankan bahwa meskipun menghadapi penolakan, namun ketekunan dalam permohonan akan membuahkan hasil. Ini adalah dorongan untuk tidak menyerah dalam doa walaupun jawaban tidak datang dengan serta merta. Ketika kita tidak lagi datang kepada Tuhan, perlahan lahan kita juga akan semakin jauh dari Tuhan. Menjauhkan diri dari Tuhan adalah misi utama dari si Iblis. Semakin ramai orang yang menjauhkan diri dari Tuhan, semakin ramai pula yang tinggal dalam kegelapan.Yesus membandingkan hakim yang zalim dengan Allah. Kerana Allah jauh lebih baik daripada hakim duniawi. Ia pasti akan memberikan keadilan kepada anak-anak-Nya yang berseru kepada-Nya siang atau malam. Ini memberikan keyakinan bahawa Allah yang baik menjawab doa dengan setia. Allah tidak akan meninggalkan umat-Nya berjalan sendiri dalam perjuangan hidup di dunia ini.Ia sentiasa menyertai memimpin, dan memerhatikan doa-doa orang yang beriman.
Dalam Kitab Keluaran (Exodus), mengisahkan bahawa orang-orang Israel, dipimpin oleh Yosua, berperang melawan orang-orang Amalek. Pasukan mereka mengalami kemenangan ketika Musa mengangkat tangan. Sebaliknya, mereka mengalami kekalahan ketika tangan Musa diturunkan. Ini menggambarkan bahawa sesebuah perjuangan akan mendapat hasil yang baik ketika disertai dengan doa agar kuasa Tuhan bekerja dalam diri mereka. Sebaliknya mereka kalah dalam peperangan ketika mengharapkan kekuatan atau kemampuan mereka sendiri.
Pembacaan kedua, Sangto Paulus, juga menekankan pentingnya untuk tetap berpegang teguh pada kebenaran Alkitab di tengah berbagai cabaran, penolakan dunia dan godaan ajaran sesat. Ayat-ayat ini menekankan bahawa Alkitab memberikan hikmat, pengetahuan mendalam dan bahawa kita harus menggunakannya untuk hidup benar dan menjadi semakin serupa dengan Kristus, bukan sekadar koleksi pengetahuan atau membaca sambal lewa (tidak bersungguh-sungguh). Maka kita harus tetap berpegang pada kebenaran. Kerana Alkitab adalah firman yang diilhamkan Allah. Alkitab membuka jalan kepada keselamatan.
Tetaplah bertekun di dalam doa sampai kita menerima jawaban-Nya. Terus berdoa, sampai Tuhan menyatakan kehendak-Nya tepat pada waktu-Nya. Percaya bahawa Tuhan selalu hadir dan bekerja dalam hidup kita. Semoga kita sentiasa dilindungi, pekerjaan-pekerjaan kita menghasilkan hal-hal baik untuk kita dan sesama, terutama demi kemuliaan nama-Nya. Amen.
Kat. George Maison
Photo by Thays Orrico on Unsplash