
RENUNGAN HARI MINGGU PERTAMA ADVEN (TAHUN A) – TEMA : HARI TUHAN
Saudara-saudari yang dikasihi dalam Kristus,
Hari ini kita mula masuk ke musim Advent—satu musim penantian, harapan, dan pembaharuan hati. Setiap kali kita melangkah masuk ke minggu pertama Advent, Gereja selalu bawa kita kembali kepada satu tema besar yang sangat penting: Hari Tuhan. Advent bukan hanya nostalgia mau ingat kelahiran Yesus di Bethlehem, tetapi satu peringatan bahawa Kristus akan datang lagi, dan kita dipanggil untuk bersedia.
Advent ini ibarat pintu masuk tahun liturgi yang baru. Bacaan-bacaannya masih sambungan daripada minggu-minggu terakhir tahun liturgi, yang penuh dengan ingatan tentang akhir zaman, penghakiman, dan kedatangan Tuhan yang tidak kita tahu bila. Gereja mau kita mula tahun ini dengan hati yang berjaga-jaga.
Saudara-saudari, Advent mengajak kita melihat dalam dua arah:
1. Lihat ke belakang
Kita mengenang bagaimana Yesus datang dalam kelemahlembutan—lahir dalam palungan yang sederhana. Ini peringatan bahawa Allah sanggup turun menjadi manusia kerana cinta-Nya.
2. Lihat ke depan
Kita bersedia menyambut kedatangan Yesus yang kedua, kedatangan dalam kemuliaan pada Hari Tuhan. Itu sebab setiap kali Misa kita akui: “Sehingga Engkau datang kembali.”
Advent bukan hanya pasang lampu, cari hadiah, atau buat persiapan rumah. Advent ialah masa kita memeriksa hati, tanya diri kita dengan jujur:
“Kalau Tuhan datang hari ini… apa keadaan hati saya?”
Yesaya bagi kita satu gambaran yang sangat indah: Semua bangsa akan naik ke Gunung Tuhan untuk belajar cara hidup di jalan-Nya. Senjata jadi alat pertanian, perang ditukar kepada damai.
Saudara-saudari, visi ini bukan untuk masa depan saja. Ini panggilan moral untuk hari ini:
• Bawa damai dalam keluarga, bukan pertengkaran.
• Jauhi cakap-cakap yang menjatuhkan, pilih perkataan yang membina.
• Kurangkan iri hati, cemburu, dan dendam.
• Mulakan perdamaian dari diri kita sendiri.
Kalau hati kita masih penuh dengan kemarahan dan sakit hati, bagaimana kita mau sambut Yesus, Raja Damai?
Yesus dalam Injil hari ini bagi amaran yang sangat tegas. Dia guna contoh zaman Nuh. Orang masa itu hidup seperti biasa: makan, minum, kahwin, bekerja… tetapi mereka terlalu sibuk sampai tidak sedar bahawa bahaya sudah depan mata. Bukan sebab mereka jahat—tetapi sebab mereka lupa Tuhan.
Hari ini pun sama. Kita sibuk kerja, sibuk keluarga, sibuk media sosial, sibuk persiapan Krismas. Semua itu bukan salah. Tapi persoalannya:
Adakah Tuhan masih nombor satu dalam hidup kita?
Atau kita hanya cari Tuhan bila ada masalah?
Yesus bilang kedatangan-Nya macam pencuri pada waktu malam. Maksudnya bukan mau takutkan kita, tapi mau ajar bahawa kesediaan itu mesti setiap masa. Bila hati berjaga, kita tidak takut.
Paulus sangat jujur dan tegas. Dia bilang: “Hari keselamatan semakin dekat… bangunlah dari tidur.” Tidur yang Paulus maksud bukan tidur fizikal, tetapi tidur rohani:
• Datang Misa tapi hati tidak hadir,
• Berdoa sekadar mau cukupkan syarat,
• Dosa kecil jadi kebiasaan,
• Hubungan dengan orang lain kasar atau renggang,
• Hidup ikut arus dunia, bukan ikut Roh Tuhan.
Paulus panggil kita untuk bangkit hari ini, bukan esok. Dia ajar kita tinggalkan kegelapan dan pakai Kristus sebagai pakaian hidup—supaya cara kita bercakap, berfikir dan bertindak menampakkan wajah Yesus.
JADI, APA YANG BOLEH KITA BUAT DALAM 4 MINGGU ADVENT INI?
1. Ambil masa berdoa setiap hari
Tidak perlu lama—5 minit pun cukup, asal hati jujur. “Ya Tuhan, bangunkanlah hati saya.”
2. Kurangkan kesibukan yang tidak perlu
Kerja tetap kerja, tapi jangan biarkan dunia tarik hati kita jauh dari Tuhan.
3. Berdamai dengan sesiapa yang kita jauhkan
Maafkan. Sembuhkan hubungan. Lepaskan dendam.
4. Jaga lidah
Hentikan gosip, marah-marah, kata kasar. Kata-kata yang lembut boleh buka pintu damai dalam rumah dan komuniti.
5. Hidup sederhana
Krismas bukan pasal hadiah mahal, tetapi pasal hati yang rendah dan terbuka.
6. Pergi pengakuan dosa
Inilah persiapan paling penting. Bila hati bersih, lebih mudah kita dengar suara Tuhan.
7. Buat satu kebaikan kecil setiap hari
Senyum, tolong orang tua, ziarah yang sakit, beri perhatian pada mereka yang sunyi.
Saudara-saudari terkasih, Hari Tuhan bukan hari yang menakutkan. Hari Tuhan ialah hari sukacita bagi mereka yang hidup dekat dengan Tuhan.
• Kristus sudah datang untuk menyelamatkan,
• Kristus sedang datang dalam setiap orang dan situasi hidup,
• Kristus akan datang sebagai Raja membawa keadilan dan damai.
Semoga Advent ini bukan sekadar tradisi, tetapi satu perjalanan rohani di mana kita:
kembali bangun, kembali berjaga, kembali membuka pintu hati kepada Tuhan yang sentiasa mengetuk. Amen.
Tuhan memberkati kita semua.
Kat. Larry Joy Linus Tokuzip