
Renungan Minggu
16.08.2026
Hari Raya Perawan Maria Diangkat ke Syurga
Wahyu (Apocalypse) 11:19; 12:1-6. 10
1 Korintus 15:20-26
Injil Lukas 1:39-56
Saudara dan saudari terkasih dalam Kristus,
Kita semua mempunyai Ibu, dan ada juga yang memanggil emak, mama ataupun Ina (Ibu perempuan). Membawa maksud yang sama iaitu panggilan untuk wanita yang melahirkan atau menjaga kita, bergantung pada pilihan, budaya, dan keselesaan keluarga masing-masing dan tanpa mereka ini, kita tiada dalam dunia dan pada minggu ini suatu peristiwa yang sangat indah kita rayakan dimana, minggu ini kita merayakan Hari Raya Santa Perawan Maria Diangkat ke Syurga (dirayakan setiap 15 Ogos), merupakan kepercayaan iman Katolik bahawa Bonda Maria diangkat tubuh dan jiwanya ke kemuliaan syurga oleh kuasa Allah setelah selesai hidup di dunia. Peristiwa ini ditetapkan dogma rasmi oleh Paus XII pada tahun 1950. Makna dan renungan penting tanda pengharapan dimana Pengangkatan Maria memberi jaminan bahawa janji kebangkitan Kristus berlaku nyata pada tubuh manusia. Bukan naik sendiri. Bonda Maria “diangkat” oleh kuasa Tuhan, berbeza dengan Yesus yang “naik” ke syurga dengan kuasa-Nya sendiri. Sebagai manusia yang suci dan Bonda Tuhan, Maria menjadi orang yang pertama yang menikmati kepenuhan keselamatan. Merupakan Teladan Iman, ketaatan Maria memimpin umat beriman kepada jalan yang berkenan kepada Allah.
Peneguhan daripada pembacaan pertama Bacaan Kitab Wahyu, menyatakan Bait suci Allah terbuka, dan Tabut Perjanjian-Nya kelihatan. Dalam tradisi Katolik, Maria dicerminkan sebagai “Tabut Perjanjian Baru” kerana Dia memegang dan melahirkan Sabda Allah yang hidup (Yesus). Perempuan Berselubungkan Matahari, bermahkotakan 12 bintang, dan melahirkan seorang Anak lelaki iaitu Kristus. Ini melambangkan keagungan Bonda Maria serta Gereja. Suara nyaring di syurga mengistiharkan keselamatan, kuasa, dan pemerintahan Kristus telah tiba, serta iblis telah dikalahkan. Diangkatnya Maria ke syurga memberikan kepastian jaminan bahawa kita juga dipanggil kepada kemuliaan abadi di syurga bersama Allah. Walaupun penuh rahmat, Maria juga melalui jalan derita dan ujian iman (dilambangkan dengan kesakitan melahirkan). Ini mengajar kita supaya tetap setia walau menghadapi cabaran hidup di dunia. Maria sedar bahawa segala sesuatu yang baik dalam hidupnya adalah rahmat Tuhan. Dia penuh dengan kerendahan hati, dan kerana kerendahan hatinya itu, Tuhan melakukan perkara-perkara besar melalui hidupnya. Sebagai Ibu kepada Sang Raja, Maria kini mendoakan kita yang masih berziarah di bumi agar kita tabah menghadapi tipu muslihat dan godaan duniawi.
Bacaan kedua daripada Santo Paulus pula mengingatkan kita bahawa Kristus telah bangkit daripada kematian sebagai yang sulung daripada orang yang telah meninggal. Kebangkitan Kristus adalah dasar pengharapan kita. Kehidupan kita tidak berakhir dengan kematian. Kematian bukan kata terakhir. Kristus yang bangkit adalah kemenangan kita semua.
Saudara dan saudari,
Injil pada hari ini membawa kita kepada satu peristiwa yang indah. Maria mengunjungi rumah Elisabet, saudaranya, untuk membantu dan melayani. Bayangkan keadaan Maria pada ketika itu. Dia sendiri sedang membawa satu misteri besar dalam rahimnya. Ketika Elisabet melihat Maria, dia berseru dengan sukacita: Diberkatilah engkau diantara semua wanita dan diberkatilah buah rahim mu. Elisabet dipenuhi Roh Kudus mengakui Maria sebagai ‘Ibu Tuhanku’. Pujian Magnificat (ialah nyanyian atau kidung pujian oleh Santa Perawan Maria). Maria menanggapi rahmat Allah dengan kerendahan hati dan ucapan syukur yang tulus.
Seperti Maria, kita juga seharusnya membawa khabar gembira, sukacita kepada orang lain, lebih – lebih lagi kepada mereka yang dahaga akan cinta kasih Tuhan. Menjadikan Maria teladan, sebagai seorang ibu yang terus mengajar kita untuk percaya, mengajar kita untuk rendah hati yang tulus berbuat baik tanpa mencari pujian, menghormati sesama serta ketaatan yang mendalam kepada kehendak Allah. Amin.
Kat. George Maison
Paroki St. Michael Penampang.