Renungan Hari Minggu Biasa Ke-19 Tahun A – 13 Ogos, 2023
Pembacaan Pertama: 1Raja-Raja 19:9,11-13
Mazmur Tanggapan: Mazmur 85:9-14
Pembacaan Kedua: Roma 9:1-5
Pembacaan Injil: Matius 14:22-33
Shalom salam damai, saudara dan saudari dalam Kristus,
Bacaan untuk hari minggu biasa ke-19 Tahun A memberitahu kita bahawa Tuhan mempunyai kuasa ke atas apa sahaja di muka bumi ini. Dia berada di mana-mana saja. Dia adalah pembekal kehidupan dan sumber penyelamatan. Dia akan berikan kepada kita segala-galanya keperluan kita. Pemerintahan-Nya adalah dengan kebaikan dan keadilan.
Dalam bacaan Injil, Yesus telah berjalan di atas air menuju kepada murid-muridnya yang berada di dalam perahu yang sedang terumbang-ambing kerana menghadapi kesukaran untuk bergerak akibat dipukul angin sakal (angin kencang yang bertiup di arah yang bertentangan).
Melihat Yesus berjalan di atas air, para murid-Nya terkejut dan berteriak ketakutan. Mereka ingat mereka nampak hantu. Melihat keadaan mereka itu, Yesus pun menyuruh mereka bertenang dan memberitahu mereka supaya jangan takut kerana Dia adalah Yesus dan bukannya hantu. Kemunculan Yesus yang tidak terjangka ini, telah mengubah semuanya, ketakutan mereka telah menjadi kekaguman.
Mungkin kita boleh gambarkan perahu yang dinaiki oleh murid-murid Yesus sebagai gereja Katolik di mana, murid-murid-Nya yang berada di dalam perahu tersebut adalah umat Katolik. Petrus bolehlah kita anggap sebagai pengemudi perahu di mana dalam konteks gereja Katolik adalah Paus kita.
Beginilah keadaannya apabila kita berada dalam perahu gereja Katolik. Tuhan Yesus melalui Roh Kudus sentiasa berada bersama kita mencari peluang untuk mendekati kita untuk menyelamatkan kita. Di dalam perahu ini, setiap diri kita mempunyai peranan, tanggungjawab, masalah dan cabaran tersendiri di mana tanpa Yesus, kita mungkin akan menjadi letih, kecewa, ketakutan, marah dan sering berkelahi.
Petrus, yang pada mulanya, telah menunjukkan iman yang kuat telah meminta Yesus untuk menyuruhnya datang kepada-Nya dengan berjalan di atas air. Yesus pun membenarkannya, jadi Petrus pun segera turun dari perahu dan berjalan di atas air untuk mendapatkan Yesus. Tetapi apabila dia terasa kekuatan angin yang kencang ke arahnya, dia pun menjadi takut semula lalu mulai tenggelam. Dia pun berteriak meminta pertolongan Yesus. Dengan segera, Yesus pun menghulurkan tangan-Nya dan memegang tangan Petrus sambil berkata, “Hai orang yang kurang percaya, mengapa engkau bimbang?” Lepas itu, kedua-dua mereka pun naik ke perahu dan angin kencang pun reda.
Apakah yang berlaku kepada Petrus? Kenapa dia mulai tenggelam?
Petrus mulai tenggelam kerana imannya telah goyah dan dia kehilangan keyakinan. Keraguannya itu mempamerkan cabaran yang sukar untuk mempertahankan imannya yang pada mulanya kuat itu apabila berada dalam situasi yang sukar. Dia perlukan Yesus untuk menolongnya. Disebabkan Yesus berada di situ, dia telah diselamatkan dengan pantas.
Kita pun begitu juga, kita mungkin kehilangan keyakinan kepada Tuhan dan merasa ragu-ragu apabila terdedah kepada situasi yang sukar. Kita harus memanggil Nama Yesus dan meminta pertolongan-Nya seperti yang dilakukan oleh Petrus. Tuhan Yesus akan menyelamatkan kita dengan segera. Yang penting kita harus mengenali-Nya dan percaya kepada-Nya dengan sepenuhnya.
Yesus akan datang kepada kita dalam apa saja situasi kita berada. Dia akan datang kepada kita apabila kita berada dalam kegembiraan, dalam kebimbangan, dalam kekecewaan, dalam penderitaan, dalam kesusahan, dalam kesakitan fizikal, dalam kesakitan hati, dalam kesepian, dalam kesempitan, apabila kita menerima kritikan yang tidak diingini, dan sebagainya. Semua ini boleh membawa kehadiran Tuhan kepada kita di mana tanpa kehadiran Tuhan, kita tidak terdaya untuk mengatasinya.
Yesus tidak memaksa diri-Nya kepada kita. Dia hanya berlegar-legar di luar menunggu kita untuk memanggil-Nya. Dia mungkin hilang ke dalam kabut laut sekali-sekala, dan kita mungkin tenggelam ke dalam air seperti Petrus yang keraguan itu, tetapi semuanya akan berakhir dengan kepastian bahawa Yesus boleh mengatasi masalah kita walaupun kita berada dalam situasi yang mengancam nyawa kita.
Kita boleh memanggil Yesus untuk sentiasa bersama kita dengan doa yang kerap. Membina hubungan cintakasih yang intim dengan-Nya. Dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa merasa selamat dan selesa dalam dakapan-Nya.
Murid-murid Yesus yang telah menyaksikan keajaiban dan mukjizat yakin bahawa Yesus adalah Anak Allah, itulah makanya mereka menyembah Dia. Oleh kerana Yesus adalah Anak Allah yang mempunyai kuasa penyelamatan, kita harus memberi tumpuan kepada-Nya dan jangan kita terganggu oleh cabaran di sekililing kita.
Amen!
Disusun oleh:
Richard Jomiji Kinsil
Kg. Tindai, Kolopis